Dua individu termasuk seorang bekas penolong pengarah eksekutif kanan badan awam direman disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan dana awam berjumlah kira-kira RM800,000. FITO SPRM

KUALA LUMPUR – Dua individu termasuk seorang bekas penolong pengarah eksekutif kanan badan awam direman tujuh hari selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan dana awam berjumlah kira-kira RM800,000.

Perintah reman sehingga 25 Mei depan terhadap kesemua suspek dikeluarkan oleh Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi tadi.

Menurut sumber, suspek terdiri daripada seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an telah ditahan antara jam 12.30 tengah hari dan 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.

“Semalam SPRM Terengganu telah menahan tiga orang suspek yang terdiri daripada seorang bekas penolong eksekutif kanan pentadbiran, pemilik syarikat dan penjawat awam bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun, hanya dua daripada mereka ditahan reman pagi ini kerana seorang lagi suspek dibebaskan berikutan masalah kesihatan.

“Siasatan awal mendapati, kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023 dan 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dilakukan bagi membantu proses siasatan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast