SEBERANG PERAI – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menahan lapan individu terdiri daripada tujuh warga asing dan seorang wanita tempatan dalam satu operasi penguatkuasaan terhadap sebuah pertubuhan tidak berdaftar di Taman Pelangi di sini, semalam.
Operasi yang dijalankan sekitar jam 8.30 malam itu dilakukan hasil risikan dan maklumat berkaitan aktiviti sebuah pertubuhan dikenali sebagai Persatuan Anak Rantau Indonesia (PARI) yang dipercayai beroperasi tanpa pendaftaran sah di bawah Akta Pertubuhan 1966.
JPPM dalam kenyataan berkata, serbuan berkenaan diketuai oleh Inspektor Mohd Taufeeq Azmy, pegawai penguat kuasa JPPM Pulau Pinang dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan empat lelaki dan tiga wanita warga Indonesia serta seorang wanita tempatan yang dipercayai memegang jawatan dalam pertubuhan berkenaan.
“Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai digunakan bagi aktiviti pertubuhan itu termasuk dokumen pentadbiran, kain rentang program, kad keahlian, cop rasmi persatuan serta beberapa telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk urusan pengurusan dan komunikasi.
“Kesemua individu terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut sebelum permohonan reman dibenarkan selama empat hari oleh Majistret Mahkamah Bukit Mertajam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966 serta Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.
Tambah kenyataan itu, mana-mana pihak yang menubuhkan atau mengendalikan pertubuhan tanpa kelulusan dan pendaftaran sah boleh dikenakan tindakan tegas selaras dengan undang-undang, selain akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan bagi memelihara ketenteraman awam serta keselamatan negara. – MalaysiaGazette















