KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal melakar sejarah apabila juara Liga Super 12 musim berturut-turut itu akan berdepan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea FC pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 11 Ogos depan.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjadi tuan rumah kepada salah satu kelab Liga Perdana Inggeris paling terkenal di dunia itu.
“Perlawanan ini bukan sahaja menjadi satu pencapaian penting buat kelab kami, malah mencerminkan peningkatan kedudukan JDT dalam arena bola sepak Asia.
“Stadium Sultan Ibrahim adalah kubu kami dan pada Ogos nanti, akan menjadi pentas kepada satu malam yang pasti sukar dilupakan.
“Kami menantikan perlawanan ini dan berharap akan menjadi permulaan kepada lebih banyak perlawanan berprofil tinggi pada masa hadapan.
“Chelsea bukan sahaja akan menikmati layanan mesra JDT serta kemudahan bertaraf dunia yang kami miliki, malah berpeluang menikmati keindahan negeri Johor,” katanya dalam kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers di sini hari ini.
“Sukan bola sepak mempunyai kelompok penyokong yang amat bersemangat di rantau ini dan ia peluang terbaik untuk penyokong kami di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara menyaksikan pasukan beraksi sekali lagi menjelang musim baharu,” katanya. – MalaysiaGazette
















