Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berucap pada Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2026 di WTC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 20 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Kadar kebolehpasaran graduan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Kolej Profesional MARA merekodkan pencapaian 97.22 peratus sekali gus membuktikan institusi pendidikan MARA kekal relevan dan diyakini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah,Datuk Rubiah Wang berkata, pencapaian itu membuktikan pendidikan MARA bukan lagi dianggap sebagai pendidikan pinggiran.

“Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi bukti graduan MARA mempunyai nilai, diyakini industri dan bersedia menyumbang dalam sektor strategik negara.

“Kejayaan ini turut diperkuatkan dengan jaringan seramai 238,027 alumni TVETMARA dan Kolej Profesional MARA yang kini berkhidmat dalam pelbagai bidang serta menjadi tenaga kerja mahir yang menyokong pembangunan negara,”.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah beliau, TVETMARA dan Kolej Profesional MARA merupakan antara laluan
terbaik yang dipilih oleh para graduan untuk mencapai cita-cita masing-masing.

“Kemahiran bukan lagi sekadar kerja tangan. Kemahiran hari ini ialah gabungan ilmu teknikal, pemikiran kritikal, keupayaan digital, komunikasi, kreativiti dan kebijaksanaan membuat keputusan.

“Generasi MARA tidak boleh hanya menunggu dunia datang memberi ruang dan peluang. Sebaliknya, saudara dan saudari perlu berani mencipta ruang, membina nilai dan membuka jalan kejayaan dengan tangan sendiri.

“Jangan berhenti di sini. Teruskan langkah membina masa depan yang lebih baik sama ada dengan melanjutkan pengajian ke peringkat akademik yang lebih tinggi atau melangkah yakin ke alam pekerjaan,” ujarnya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast