JOHOR BAHRU – Beberapa saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan insiden kekecohan dan kekasaran terhadap sekumpulan pengamal media ketika membuat liputan Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di sini Ahad lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, siasatan berhubung kes itu sedang dijalankan selepas pihaknya menerima laporan polis daripada pihak Kelab Media Johor (KMJ) semalam.
“Pada pukul 2.16 petang polis mengesahkan satu laporan polis dierima seorang wanita tempatan berusia 32 tahun yang menyatakan telah diasak sekumpulan individu berpakaian hitam sehingga berlaku sentuhan fizikal dalam sebuah perhimpunan di sini.
“Perkara ini tular apabila ia mendapat liputan media dengan beberapa rakaman video turut dimuat naik di media sosial yang memaparkan insiden berkenaan.
“Kita sedang menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan dan akan memanggil beberapa orang saksi bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan media, malam tadi.
Beliau turut menegaskan supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan.
Semalam, KMJ membuat laporan polis susulan tindakan agresif skuad keselamatan parti politik terhadap petugas media ketika membuat liputan Konvensyen itu.
KMJ menzahirkan rasa kesal dengan tindakan melampau skuad keselamatan itu bertindak menghalang tugas pengamal media dari Johor dan Kuala Lumpur yang mengundang kepada insiden tolak-menolak dan pertelingkahan mulut.- MalaysiaGazette















