Gambar hiasan

ALOR SETAR – Empat lelaki terdiri daripada dua pemandu lori bersama kelindan masing-masing ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup 20 tan metrik beras dianggarkan bernilai RM52,000 di Pendang hari ini.

Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Kedah Mohamad Nornizam Ramly berkata pihaknya menahan dan memeriksa dua lori itu semasa rondaan di laluan Kampung Padang, Mukim Tajar pada 7.45 pagi.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati setiap lori membawa 200 kampit putih berisi beras dengan anggaran 10 tan metrik.

“Pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan atau pengangkutan beras itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Nornizam berkata kedua-dua lori dan muatan beras itu disita untuk siasatan lanjut.

“Semua rampasan dibawa ke Gudang KPB Kedah, manakala laporan polis akan dibuat selepas proses dokumentasi serta siasatan awal selesai,” katanya.

Beliau berkata operasi itu memberi tumpuan terhadap laluan pedalaman yang dipercayai digunakan bagi aktiviti penyeludupan dan pengangkutan beras tanpa dokumen sah. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast