SUBANG JAYA – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua susulan kenyataan biadabnya didakwa mempertikai bidang kuasa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Ketuanya, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail menegaskan, UMNO tiada kompromi dengan sebarang naratif yang menjejaskan kedudukan institusi Diraja Selangor di bawah sistem Monarki Berperlembagaan.
“Sedar atau tidak, beliau merupakan mantan Ahli Parlimen Damansara yang terletak di bawah pentadbiran Selangor, sebuah negeri yang bernaung di bawah kedaulatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
“Sebagai Ketua Pemuda UMNO Subang, sudah menjadi tanggungjawab hakiki saya untuk bangkit mempertahankan institusi Kesultanan Selangor,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, Fariz bersama beberapa pimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang membuat laporan terhadap Tony susulan kenyataannya memperlekehkan kedaulatan Raja-Raja Melayu di Balai Polis USJ 8 malam semalam.

Selasa lalu, Tony mendakwa kuasa raja terhad kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri.
Kata Tony Pua lagi, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat.
Fariz yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melahirkan kebimbangan terhadap trend rantaian provokasi oleh beberapa pemimpin veteran DAP sebelum ini.
Jelasnya, larangan Sultan Selangor terhadap penternakan babi yang disanggah Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki menimbulkan rentetan penghinaan terhadap Sultan Sharafuddin Idris.
“Bukan sahaja gambar Sultan Selangor disunting dengan melampau seperti rupa babi serta gambar Tuanku hanya berseluar dalam dan bertanjak dengan memegang pistol air.
“Kini timbul pula siri kenyataan daripada veteran DAP Ronnie Liu dan terbaru Tony yang dilihat senada dalam mempertikaikan titah Sultan Selangor,” tegasnya.
Fariz juga mempersoalkan sikap pemimpin DAP dilihat sengaja melupakan kontrak sosial yang dipersetujui sewaktu pembentukan negara hingga tergamak menyanggah titah Seri Paduka.
“Pemimpin-pemimpin DAP seolah-olah sudah lupa kepada lima perkara utama dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Antaranya Perkara 3, Islam sebagai Agama Persekutuan; Perkara 14, Kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang serta Perkara 152, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
“Dua perkara paling penting iaitu Perkara 153, Hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dan Perkara 181, Kedaulatan Raja-Raja Melayu,” katanya.
Selain itu, Fariz menyifatkan perbuatan dua pemimpin veteran DAP itu sebagai cubaan untuk tidak mengiktiraf institusi diraja Selangor.
“Saya ingin bertanyakan kepada Tony Pua, adakah beliau benar-benar faham maksud kedaulatan Raja-Raja Melayu ini? Jika titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku pun mahu dipertikaikan, itu bermakna beliau seolah-olah tidak mengiktiraf institusi Sultan Selangor.
“Jika berani, isytiharkan perkara itu secara terbuka,” tegasnya.
Sementara itu, Fariz mengingatkan Ronnie Liu yang mengunjungi Dataran Selangor baru-baru ini untuk melihat replika Rukun Negara agar tidak sekadar menjadi gimik politik semata-mata.
“Ronnie Liu sudah hadir ke sana, jadi jangan sekadar membaca. Tolong faham, hadam dan hayati bait-bait kata tersebut.
“Apabila sudah faham, bawa rakan baik beliau, Tony Pua, untuk hadir sama-sama membaca dan menghayatinya sekali lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















