KUALA LUMPUR – Pas membidas sikap segelintir pihak yang disifatkan sebagai hipokrit dan oportunis kerana sanggup mempersoalkan titah serta nasihat institusi diraja demi kepentingan politik peribadi.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan menolak atau mempertikaikan titah sultan dilihat hanya berselindung di sebalik tafsiran konsep Raja Berperlembagaan terserlah apabila perkara itu tidak menyebelahi ‘selera’ mereka.
Menurutnya, respons Pengerusi Jawatankuasa Dispilin DAP, Tony Pua hanya mengeruhkan lagi keadaan serta meningkatkan keresahan awam.
“Ia mencetuskan kontroversi baharu yang tidak perlu pada saat suhu ketegangan kaum dan agama dalam masyarakat sudah sedia tinggi.
“Ia bukan membuktikan patriotisme atau sikap hormat kepada undang-undang dan kedaulatannya.
“Titah Sultan Selangor sepatutnya difahami dalam konteks yang luas menerusi lensa semangat tanggungjawab kebangsaan dan sikap sederhana,” katanya dalam satu kenyataan.
Takiyuddin berkata, apa-apa respons atau kenyataan melibatkan institusi Raja-raja Melayu hendaklah dibuat dengan penuh hati-hati, adab dan kehormatan yang setanding dengan status serta peranan perlembagaan.
“Episod terbaru ini tidak boleh dilihat secara terpisah dan berasingan daripada perkembangan luas yang menyaksikan meningkatnya pertikaian awam yang memecah kerukunan melibatkan pelbagai isu, termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), penggunaan Bahasa Cina pada dokumen rasmi kerajaan, penternakan babi di Selangor selain perdebatan mengenai perlembagaan, dasar-dasar kerajaan, Bahasa Kebangsaan, dasar dan falsafah pendidikan kebangsaan, selain isu-isu agama dan kaum.
“Secara terpisah, isu-isu ini mungkin boleh dianggap sebagai isu pentadbiran. Namun, apabila ia diperdebatkan dalam persekitaran yang sarat emosi, konfrontatif dan dipolitikkan, ia menyumbang kepada menurunnya rasa saling percaya dan meruncingkan polarisasi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Pas turut menegaskan, Malaysia amat memerlukan figura pimpinan yang mampu menyuburkan keyakinan serta menyatukan rakyat.
“Kerajaan dan pemimpinnya bukan sahaja perlu mentadbir dengan cekap, tetapi perlu dilihat berkemampuan mempertahankan kestabilan sosial serta meletakkan kepentingan negara lebih tinggi daripada pertimbangan partisan.
“Kita memerlukan kepimpinan yang menyuburkan kepercayaan awam bukannya yang meledakkan kontroversi demi kontroversi tidak perlu mungkin kerana keterdesakan politik atau ketumpulan kesedaran mengenai sejarah panjang negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















