KUALA LUMPUR – Festival Teater Universiti Kebangsaan Malaysia (FESTER) 2026 melabuhkan tirainya menerusi penganjuran Malam Anugerah FESTER yang berlangsung dengan penuh meriah semalam.
FESTER 2026 berlangsung selama seminggu bermula 13 Mei lalu dengan menampilkan 11 naskhah baharu daripada produksi teater kolej kediaman UKM menerusi tema LEGENDA.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UKM, Ts. Dr. Arham Firdhaus yang mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM.
Turut hadir ialah Pengarah Pusat Kebudayaan UKM; Mohamed Asrof Semin; Ketua HEPA, Aizam serta Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Kuala Lumpur, Hidayatul Ein Mohamad Azmi.
Kehadiran aktivis seni, penggiat teater kampus dan alumni seni persembahan turut memeriahkan majlis berkenaan.
FESTER 2026 menghimpunkan penyertaan kolej-kolej kediaman UKM menerusi pementasan karya teater yang menampilkan kreativiti mahasiswa dalam aspek lakonan, pengarahan, penulisan skrip dan teknikal produksi.

Festival tersebut dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh pembangunan sahsiah, kepimpinan dan bakat seni mahasiswa selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik.
Program yang berlangsung selama seminggu itu diadili oleh panel juri yang berpengalaman luas serta memiliki kepakaran tinggi bidang teater dan seni pentas Malaysia, terdiri daripada Zaifri Husin; Kamarul A.R. dan Siti Rohaya Atan selaku Ketua Juri.
Pada malam kemuncak tersebut, Kolej Dato’ Onn menerusi naskhah Si Ahli Nujum dinobatkan sebagai juara keseluruhan FESTER 2026.
Tempat kedua dimenangi oleh Kolej Tun Dr. Ismail menerusi naskhah Panca Delima, manakala Kolej Tun Syed Nasir menerusi naskhah Atma Kaku meraih tempat ketiga.
Bagi kategori individu, Anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik dimenangi oleh pelakon watak Mat Teja daripada Kolej Aminuddin Baki menerusi naskhah Tasneem, manakala Anugerah Pelakon Harapan Wanita dimenangi oleh pelakon watak Kancil daripada kolej yang sama menerusi naskhah Si Ahli Nujum.

Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik pula dimenangi oleh pelakon watak Pak Sender daripada Kolej Dato’ Onn menerusi Si Ahli Nujum, sementara Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik diraih oleh pelakon watak Mak Kuntum daripada Kolej Ibu Zain menerusi naskhah Pak Pandir.
Sementara itu, Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dimenangi oleh Surya Kenchana daripada Kolej Tun Dr. Ismail menerusi Panca Delima, manakala Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dimenangi oleh pelakon watak Permaisuri Cemara Jingga daripada kolej yang sama menerusi naskhah Panca Delima.
Dalam kategori teknikal dan penghargaan khas, Kolej Tun Dr. Ismail menerusi Panca Delima telah menerima Anugerah Visual Inovatif Terbaik, manakala Anugerah Khas Juri diberikan kepada Kolej Burhanuddin Helmi.
Naskhah Si Ahli Nujum turut menerima Anugerah Skrip Terbaik.
Selain itu, Anugerah Khas Dr. Ros sempena penghargaan kepada Dr. Rosminah Tahir telah diberikan kepada penulis skrip Kerusi Untuk Laila, iaitu Nur Ali Ahusna.
Penganjuran FESTER 2026 diharap dapat terus menjadi wadah pembangunan seni budaya dalam kalangan mahasiswa serta memperkukuh ekosistem kesenian universiti secara berterusan. – MalaysiaGazette
















