SHAH ALAM – Lelaki dipercayai mengurung, mengikat dan meliwat seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning, Seksyen 32 di sini akan dituduh dalam masa terdekat selepas polis menerima arahan pertuduhan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pertuduhan terhadap suspek yang bekerja sebagai pemungut hutang itu akan dilakukan secepat mungkin.
Menurut beliau, pihaknya telah dimaklumkan bahawa arahan pertuduhan telah diberikan dan proses pendakwaan akan dilaksanakan dalam kadar segera.
“Apabila pertuduhan dibuat, kita akan maklumkan kepada rakan media untuk mendapatkan maklumat lanjut di mahkamah berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Terdahulu, suspek ditahan di sebuah bilik sewa di Kuala Lumpur sebelum direman selama tiga hari sehingga Selasa lalu dan tempoh reman itu kemudiannya dilanjutkan lima hari lagi bagi membantu siasatan.
Polis turut mendedahkan suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan baru sahaja dibebaskan dari penjara pada April tahun lalu.
Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja lelaki dikurung dan didera termasuk dipercayai diliwat oleh lelaki tidak dikenali dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning pada 12 Mei lalu.
Siasatan awal mendapati suspek memperdayakan mangsa dengan menawarkan pakej internet telefon bimbit sebelum mengajak remaja terbabit membantu mengangkat barang di rumahnya. – MalaysiaGazette
















