KLANG – Seorang warga emas berusia 75 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian terhadap dua beradik pada Jumaat lalu.
Berdasarkan pertuduhan, Ang Kim Lai yang juga pesara pada 7.30 malam di Jalan Pekan Baru dalam daerah Klang 15 Mei lalu memandu melulu hingga mengakibatkan kematian terhadap Wong Nyok Sim, 62, dan Wong Nyoke Fong, 57.
Sehubungan itu lelaki tersebut dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 Pindaan 2021.
Jika disabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang lima dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 selain lesen memandu digantung.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nadia Syuhada Rosli mencadangkan mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM15,000.
Peguam yang mewakili tertuduh, Tong Kuan Ling pula memohon jumlah jaminan terhadap anak guamnya dikurangnya atas alasan menghidapi darah tinggi, kencing manis yang memerlukan rawatan susulan.
Peguam turut mengesahkan jaminan tertuduh akan ditanggung anak menantunya yang hanya bekerja di restoran dengan pendapatan RM3,500 sebulan.
Bagaimanapun Hakim, Khartiyayini Ambualagan kemudian menetapkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh.
Dalam masa yang sama, lesen memandunya digantung sementara sehingga kes selesai.
Sementara itu, tarikh sebutan dan pengurusan kes ditetapkan 4 Ogos depan.
Baru-baru ini media melaporkan dua beradik warga emas itu maut dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV), Jumaat lalu.
Selain dua beradik maut, anak salah seorangnya dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Sejurus kejadian, pemandu melarikan diri sebelum ditahan polis di kedai makan miliknya sehari selepas kejadian.
Selain dua beradik maut, anak salah seorangnya dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Dia kemudian direman lima hari sebelum didakwa di mahkamah hari ini.- MalaysiaGazette
















