Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mengumumkan keluar daripada PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia pada majlis pengumuman hala tuju politik baharu di PJ Performing Arts Centre, One Utama. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 Mei 2026. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR — Parti Bersama Malaysia (Bersama) tidak akan terikat dengan mana-mana gabungan politik sedia ada sebaliknya mahu menawarkan pilihan alternatif kepada pengundi.

Belas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pendirian itu selari dengan matlamat parti berkenaan untuk mengubah landskap politik negara serta menamatkan dominasi politik lama yang disifatkan semakin hilang arah.

“(Parti) Bersama tidak akan menyertai mana-mana gabungan ini, tetapi ingin pastikan alternatif untuk pengundi,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Nik Nazmi berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyatakan partinya sedia mempertimbangkan penyertaan Bersama yang dipimpin Datuk Seri Rafizi Ramli ke dalam Perikatan Nasional (PN).

Abdul Hadi berkata, kehadiran parti berkenaan tidak akan menjejaskan Pas dan PN dalam membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, Bersama bukan sahaja akan bertanding di kerusi melibatkan PKR dan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH), malah turut menyasarkan kawasan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Dari pengumuman penyertaan kami ke Bersama, kami umumkan Bersama nak ubah lanskap politik, akhiri dominasi politik lama dan tolak kompromi semata-mata untuk kuasa.

“Justeru kami bukan sahaja bertanding di kawasan-kawasan PKR dan parti PH yang lain, malah BN dan juga PAS-PN,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast