LONDON – Hubungan Manchester City dan Pep Guardiola akhirnya menemui noktah apabila kelab itu mengesahkan pengendali dari Sepanyol itu bakal meninggalkan Stadium Etihad pada penghujung musim ini.
Man City dalam satu kenyataan berkata, Guardiola akan mengendalikan perlawanan terakhirnya menentang Aston Villa pada Ahad ini sebelum menamatkan tempoh sedekad penuh bersama City.
Difahamkan, Guardiola mengambil keputusan itu menggunakan klausa khas dalam kontraknya yang sepatutnya berakhir pada Jun 2027 untuk meninggalkan kelab lebih awal.
Bagaimanapun, bekas pengendali Barcelona itu tidak akan meninggalkan sepenuhnya City apabila bakal memegang peranan baharu sebagai duta antarabangsa.
“Jangan tanya sebab saya perlu pergi kerana tiada sebab tertentu tetapi jauh di sudut hati saya tahu ini masa yang tepat.
“Tiada apa yang kekal selamanya kerana yang kekal hanyalah perasaan, orang-orang, kenangan dan cinta saya kepada Manchester City,” katanya yang masih menjadi penasihat teknikal kepada kelab-kelab di bawah rangkaian City Football Group.
Sejak dilantik pada 2016, Guardiola telah menghadiahkan 20 trofi buat City termasuk enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris, tiga Piala FA, lima Piala Liga, satu Liga Juara-Juara Eropah serta Piala Dunia Kelab.
Antara pencapaian terbesar Guardiola bersama City ialah membantu kelab meraih treble Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara pada 2023 selain mengutip 100 mata dalam liga pada musim 2018. – Agensi
















