KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos selesai secara baik selepas defendan membuat permohonan maaf kepada ahli politik itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Peguam, Shakeel Saifuzzaman yang mewakili Khairy Jamaluddin selaku plaintif berkata, kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berjalan bersama Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos selepas selesai prosiding kes saman fitnah yang selesai dengan permohonan maaf di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, hari ini.

“Kedua-dua pihak bersetuju dengan terma-terma yang diberikan, jadi hari ini kes selesai tanpa perlu melalui perbicaraan,” katanya semasa prosiding penyelesaian kes direkodkan dalam kamar Hakim Datuk Anand Ponnudurai yang turut dihadiri peguam Nasser Yusof mewakili Jamal.

Pada 19 September 2023, Jamal memfailkan permohonan untuk membatalkan saman berkenaan, antaranya atas alasan tuntutan terhadapnya tidak jelas, mengaibkan serta satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Khairy yang memfailkan saman itu pada 24 Mei 2023 berkata, pada PAU 2022 yang diadakan 14 Januari 2023, Jamal mengadakan sidang media di Pusat Dagangan Dunia  Kuala Lumpur, dihadiri pengamal media, perwakilan UMNO serta beberapa ahli dan pemimpin parti itu.

Plaintif mendakwa pada hari sama, Jamal memuat naik rakaman video bertajuk “Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas mengeluarkan kenyataan yang semberono dan memalukan UMNO #UMNODuluKiniDanSelamanya” di laman Facebook di bawah nama DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official).

Menurut bekas Ketua Pemuda UMNO itu, defendan turut memuat naik rakaman sama di akaun TikTok di bawah nama ‘jamal_yunos’.

Khairy mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antaranya membawa maksud beliau adalah pemimpin yang tiada integriti, tidak layak menjadi seorang pemimpin, selain tidak setia kepada UMNO dan pemimpin parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast