SHAH ALAM – Pergerakan Pemuda UMNO Selangor memberi amaran akan melancarkan gerakan mengajak rakyat dan orang-orang Melayu untuk bangkit mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu sekiranya tiada tindakan tegas diambil terhadap pemimpin DAP yang didakwa mempertikaikan kuasa dan kedudukan institusi diraja.
Ketuanya, Datuk Mohd Imran Tamrin menegaskan, tindakan tersebut perlu diambil kerana penghinaan terhadap institusi diraja semakin berleluasa dan dilihat tidak ditangani secara serius oleh pihak berkuasa.
“Kalau masih lagi tidak ada tindakan tegas, maka kami Pemuda UMNO Selangor akan melancarkan satu gerakan untuk menghasut rakyat supaya mempertahankan dan memperkukuhkan institusi Raja-Raja Melayu.
“Kalau ada pihak menghasut rakyat untuk membenci institusi diraja, maka kita juga akan menghasut rakyat untuk mempertahankan Raja-Raja Melayu,” katanya kepada MalaysiaGazette di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohd Imran yang mewakili Pemuda UMNO Selangor; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanjong Karang, Mohd Fauzee Bukhari dan Setiausaha Putera UMNO Selangor, Jazri Danish Jasni membuat laporan polis terhadap Tony Pua kerana mengeluarkan kenyataan yang menyentuh mengenai titah Sultan Selangor.
Selasa lalu, Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Damansara, mendakwa kuasa raja terhad kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menerusi hantaran di akaun Facebooknya, Tony Pua berkata, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat.
Isu itu menjadi polemik selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki terus membangkitkan isu berkenaan larangan aktiviti penternakan babi di negeri itu.
Mohd Imran juga menyifatkan tindakan Tony Pua sebagai melampaui batas dan boleh menggugat keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
“Institusi diraja mempunyai kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlu dihormati semua pihak tanpa mengira latar belakang politik,” katannya.
Selain itu, Mohd Imran juga mempersoalkan kelewatan tindakan terhadap individu yang didakwa menghina institusi diraja walaupun ratusan laporan polis telah dibuat di seluruh negara.
“Kita lihat kalau melibatkan kritikan terhadap kerajaan khususnya Perdana Menteri, tindakan boleh diambil dengan cepat.
“Tetapi apabila penghinaan melibatkan institusi diraja, ia seolah-olah dipandang sepi walaupun banyak laporan polis dibuat,” katanya.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO Selangor mendesak Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang didakwa mencetuskan kebencian terhadap institusi diraja.
“Kita mahu tindakan tegas termasuk pendakwaan di bawah peruntukan undang-undang berat perlu dilakukan bagi memberi pengajaran kepada pihak lain supaya tidak mempermainkan isu berkaitan raja, agama dan kaum (3R).
“Pemuda UMNO Selangor turut menyeru rakyat khususnya generasi muda agar memahami sejarah negara serta menghormati prinsip Rukun Negara.
“Golongan muda perlu meletakkan kesetiaan kepada raja dan negara sebagai asas penting dalam sistem pemerintahan Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















