LONDON – England membuat kejutan senarai pemain ke Piala Dunia tanpa beberapa nama besar apabila pengurus Thomas Tuchel menggugurkan Phil Foden, Cole Palmer dan Trent Alexander-Arnold daripada skuad 26 pemain.
Dalam pengumuman rasmi pemain sebentar tadi, The Three Lions tidak menyenaraikan trio bintang itu di mana mereka sebelum ini menjadi tonggak utama skuad pada kejohanan besar.
Namun Tuchel membuat beberapa keputusan berani dengan mengekalkan pendekatan memilih pemain berdasarkan prestasi semasa bukan reputasi semata-mata.
Turut mencuri tumpuan adalah kepulangan penyerang Ivan Toney walaupun dia hanya mencatat tujuh minit aksi antarabangsa sejak Euro 2024.
Sementara itu, Kobbie Mainoo menjadi pilihan selepas kembali menemui prestasi bersama Manchester United, namun rakan sepasukannya Harry Maguire dan Luke Shaw tersisih daripada senarai akhir.
John Stones turut dipilih untuk menyertai kejohanan besar keenamnya walaupun hanya membuat beberapa penampilan liga musim ini manakala Jordan Henderson terus menjadi pilihan utama Tuchel atas faktor kepimpinan.
England dalam masa sama turut mencipta sejarah tersendiri apabila tiada pemain Liverpool dipanggil buat kali pertama sejak 1986.
Arsenal dan Manchester City masing-masing menyumbang empat pemain dalam skuad akhir. – Agensi
















