Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Polis malam tadi telah menahan seorang lelaki dipercayai seorang guru bagi membantu siasatan kes mencabul seorang murid sekolah rendah di kawasan Seri Alam di sini pada tahun lalu.

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, lelaki tempatan berusia 28 tahun itu ditahan susulan laporan dibuat ibu mangsa yang berusia 37 tahun pada pukul 9 malam tadi.

Pada masa sama, pihaknya turut mengesan satu hantaran yang tular dalam Facebook melalui akaun ‘Mohd Fadli Salleh’ berhubung kejadian berkenaan pada sebelah siang.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam berjaya menahan suspek pada pukul 10.30 malam tadi untuk siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah, selain semakan mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan.

Chuan Huat berkata, permohonan reman ke atas suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dipohon di Mahkamah Johor Bahru hari ini.

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana menyentuh mana-mana bahagian badan seseorang kanak-kanak.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau ulasan di media sosial yang boleh mengganggu proses siasatan pihak polis.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline Polis Johor di 019-2792095 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di talian 07-2212999.

Terdahulu tular dalam Facebook atas nama Mohd Fadli Salleh mendakwa seorang murid perempuan dirogol seorang guru lelaki dan kejadian tersebut berlaku pada September tahun lalu.

Mohd Fadli mendakwa, perkara tersebut sudah tiga kali dilaporkan kepada pihak polis dan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang selain membuat aduan kepada pihak Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Bagaimanapun dakwanya, tiada tindakan diambil.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Guru didakwa rogol murid perempuan usia 12 tahun?

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast