PASIR GUDANG – Tular dalam Facebook mendakwa seorang guru merogol anak muridnya yang berusia 12 tahun di sebuah sekolah rendah di Masai di sini.
Menerusi hantaran dalam akaun Facebook atas nama Mohd Fadli Salleh mendakwa, kejadian tersebut berlaku sekitar September 2025 dan sudah dilaporkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang, laporan polis dan juga kepada pihak Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
Menurut Mohd Fadli, perkara tersebut terbongkar apabila murid berkenaan kelihatan seperti ketagih untuk melakukan hubungan seks.
“Seorang murid perempuan darjah enam didapati meraba-raba murid lain. Macam ketagih nak buat hubungan seks. Hal itu sampai kepada guru disiplin, dipanjangkan kepada guru kaunseling dan pentadbir.
“Selepas disiasat, murid itu mengaku melakukan hubungan seks dengan seorang guru lelaki di situ,” tulis Mohd Fadli dalam Facebook miliknya.
Susulan pendedahan itu, menurutnya, guru besar sekolah berkenaan telah memanggil ibu bapa murid berkenaan dan menjelaskan hal yang sudah berlaku dan menyarankan mereka membuat laporan polis.
Katanya, guru besar berkenaan juga pergi ke balai polis untuk membuat laporan polis pada 29 September 2025 tentang masalah disiplin guru terbabit yang berusia 28 tahun.
“Dalam report tersebut, guru besar meminta PPD Pasir Gudang ambil tindakan tegas. Bila kes diterima oleh PPD Pasir Gudang, guru ini kena pool kat PPD.
“Pada 24 November 2025, sekali lagi guru besar buat report polis tentang kejadian hubungan seks guru dan murid ini dan sekali lagi guru besar itu minta PPD Pasir Gudang ambil tindakan,” katanya.
Pada 24 November 2025, katanya, ibu murid itu turut membuat laporan dan meminta pihak polis tidak ambil tindakan kerana guru berkenaan sudah berjanji akan bertanggungjawab sebaik murid perempuan itu mencapai umur 18 tahun.
Jelasnya, guru berkenaan dikatakan berjanji akan mengahwini murid yang dia pernah ditiduri itu apabila sudah cukup umur.
“Tapi tindakan dari PPD Pasir Gudang sangat mengejutkan. PPD Pasir Gudang arahkan cikgu itu kembali mengajar kat sekolah bermula sesi 2026.
“Kena pool sekitar tiga bulan sahaja. So sekarang ini guru ini kembali bertugas di sekolah macam tiada ada apa.
“Ada parent yang tahu mengenai kes ini sangat terkejut. Mereka ada anak perempuan dan anak perempuan mereka diajar oleh guru yang ada kes rogol ini,” katanya.
Mohd Fadli berkata, keluarga murid terbabit turut membuat laporan kepada pihak SISPAA tetapi tidak mendapat jawapan yang jelas.
“Keputusannya adalah sulit. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara ini sila hubungi pegawai PPD Pasir Gudang, Encik MF. Sehubungan dengan itu, kes ini dianggap selesai di peringkat BPA.
“Selesai? Seriuslah? Kes rogol murid, cikgu kembali mengajar murid sekolah tapi Biro Pengaduan Awam (BPA) anggap sudah selesai,” katanya.
Dia berkata, Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan PPD Pasir Gudang perlu bertanggungjawab dan membetulkan semula semua perkara yang salah itu.
“Jangan nak lindungi seorang guru, ribuan nasib murid-murid lain diabaikan. Rekod rogol ada. Pengakuan ada. Tapi guru boleh kembali mengajar di sekolah? Kebebalan apakah ini?
“PPD Pasir Gudang, sila ambil tindakan yang betul. Guru seperti ini tidak layak mengajar di sekolah. Tidak layak! Sekiranya guru ini masih mengajar di sekolah tersebut atau mana-mana sekolah di Malaysia, saya akan dedahkan terus nama guru, nama murid, nama sekolah, dan nama pegawai PPD yang bertanggungjawab atas kes ini,” tegasnya.
Dia berkata, pihaknya juga akan mendedahkan tiga laporan polis dan satu aduan SISPAA yang dibuat itu
“Minggu ini, setelkan kes ini. Gantung dulu guru ini, pool kat PPD atau JPN sehingga siasatan penuh dibuat.
“Jika guru ini masih masuk berkhidmat di sekolah selepas cuti Raya Haji, saya takkan teragak-agak dedahkan segalanya,” tambahnya.- MalaysiaGazette

















Kes rogol ni kes jenayah..bukan kes PPD kaa..JPN kaaa…kalau dah buat laporan polis, sure polis dah siasat..jd patut tanya polis laa..