ARAB SAUDI – Penantian Cristiano Ronaldo akhirnya menjulang trofi domestik pertama bersama Al-Nassr sekali gus menamatkan penantian bintang dunia itu selama tiga tahun beraksi di bumi Arab.
Kelab yang diberi jolokan Al-Alami itu muncul juara Saudi Pro League (SPL) dalam aksi terakhir liga selepas menewaskan Damac FC 4-1.
Ronaldo, Sadio Mane dan Kingsley Coman masing-masing mencetak nama sebagai penjaring manakala Morlaye Sylla menyumbat gol sagu hati buat Damac dalam perlawanan itu.
Kemenangan itu bukan sahaja menamatkan kemarau trofi SPL buat Al-Nassr selama tujuh musim sekali gus turut menamatkan harapan musuh tradisi, Al-Hilal untuk meraih gelaran juara liga.
Sejak tiba di Arab Saudi, satu-satunya trofi yang dimenangi Ronaldo bersama Al-Nassr ialah Arab Club Champions Cup pada 2023.
Kejayaan itu juga mengubat kekecewaan anak buah Jorge Jesus di pentas Asia baru-baru ini selepas Al-Nassr tumbang di tangan kelab Jepun, Gamba Osaka di pentas final Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Meskipun bergelar juara, namun Ronaldo terlepas peluang menambah gelaran Kasut Emas SPL kerana gelaran penjaring terbanyak liga dipegang Julian Quinones dengan 33 gol.
Penyerang Mexico itu mengatasi cabaran bekas peledak Brentford, Ivan Toney yang menjaringkan 32 gol dan Ronaldo (28 gol).
Roger Martinez dan Joao Felix melengkapkan senarai lima penjaring terbanyak liga dengan masing-masing menjaringkan 23 dan 20 gol. – Agensi
















