KUALA LUMPUR – Parti Gerakan menggesa kerajaan meneliti semula dasar eksport petroleum negara dengan memberi keutamaan kepada jaminan bekalan bahan api domestik yang mencukupi serta memastikan simpanan negara berada pada tahap selamat.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, eksport lebihan produk wajar dilaksanakan hanya selepas memenuhi keperluan rakyat dan ekonomi tempatan.
Beliau merujuk kepada data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan nilai eksport produk petroleum bulan lalu meningkat hampir 70 peratus berbanding tahun sebelumnya, serta dua kali ganda daripada Februari lalu
“Peningkatan eksport sememangnya membantu negara memperoleh pertukaran asing yang tinggi.
“Namun, mengambil kira risiko krisis Selat Hormuz yang tidak dapat dijangka, kerajaan sekurang-kurangnya perlu mengehadkan sementara eksport petrol, diesel, minyak tanah penerbangan dan gas petroleum cecair.
“Ini bukanlah anti-eksport, tetapi isu keselamatan tenaga negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, dalam keadaan bekalan dan harga minyak global terancam, banyak negara telah mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal.
Katanya, Thailand misalnya telah menggantung eksport produk minyak siap seperti petrol, diesel, minyak tanah penerbangan dan LPG bagi memastikan bekalan domestik terjamin.
Selain itu, ujarnya, China, Korea Selatan, Taiwan dan Jepun juga menghentikan eksport produk minyak siap dari kilang penapisan mereka sebagai langkah serius menghadapi gangguan bekalan global.
Rusia pula, tambah beliau, beberapa kali melarang eksport petrol dan diesel demi menstabilkan pasaran domestik.
“Kita mengimport minyak mentah yang mahal, bermakna kerajaan perlu menanggung subsidi yang tinggi, manakala rakyat pula berdepan risiko inflasi. Tetapi produk minyak siap masih dieksport dalam jumlah besar.
“Saya bukan menentang eksport minyak untuk menjana pendapatan negara, sebaliknya berharap kerajaan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” jelas beliau.
Beliau menegaskan, sekiranya berlaku konflik serius atau sekatan di Selat Hormuz, kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia akan terputus, sekali gus mencetuskan krisis tenaga global yang bakal menjejaskan ekonomi sebenar.
“Sebagai ekonomi berorientasikan eksport, Malaysia akan menerima kesan besar terhadap sektor pembuatan, eksport produk elektronik dan pertumbuhan ekonomi keseluruhan,” katanya. – MalaysiaGazette
















