SEREMBAN – Pengurus kelab bolasepak tempatan, N.Nine, Ramakrishnan Nair menyifatkan jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Rajan sebagai antara individu terbaik untuk membantu mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri itu.

Menurut beliau, prestasi semasa pasukan yang berjaya mengekalkan rekod tanpa tewas dalam beberapa perlawanan penting Liga Super membuktikan kemampuan jurulatih tempatan itu walaupun berdepan pelbagai cabaran musim ini.

“Sebagai anak muda Negeri Sembilan, saya rasa sudah sampai masanya kita beri penghargaan kepada usaha dan semangat jurulatih tempatan seperti K Rajan.

“Rekod ini bukan sekadar angka, tetapi bukti disiplin, semangat juang dan keberanian seorang jurulatih muda tempatan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Ramakrishnan berkata, bola sepak moden tidak seharusnya terlalu bergantung kepada nama besar luar sedangkan ramai anak tempatan memiliki kemampuan besar jika diberikan peluang dan sokongan sewajarnya.

Katanya, Rajan berjaya membawa semangat baharu kepada skuad Hobin Jang Hobin menerusi pendekatan kerja keras serta memahami budaya dan jiwa bola sepak Negeri Sembilan.

“Penyokong Negeri Sembilan mahu lihat identiti pasukan kembali kuat. Kita rindu zaman Stadium Tuanku Abdul Rahman dipenuhi laungan penyokong dan pasukan bermain dengan penuh jiwa.

“Untuk capai semua itu, kita perlukan individu yang faham budaya, faham semangat negeri dan sanggup berjuang demi lambang Negeri Sembilan,” ujarnya semangat.

Beliau turut berharap pihak pengurusan NSFC dan kerajaan negeri terus memberi peluang kepada anak tempatan serta golongan muda membuktikan kemampuan mereka dalam arena bola sepak profesional.

“Bola sepak bukan hanya tentang nama besar, tetapi soal hati, kesetiaan dan semangat membina masa depan pasukan negeri sendiri.

“Kadang-kadang hero sebenar bukan datang dari luar, tetapi lahir dari tanah sendiri. Negeri Sembilan perlukan kebangkitan baharu dan mungkin K. Rajan adalah permulaan kepada kebangkitan itu,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast