KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaksimumkan penggunaan dron sepanjang tempoh Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA) bermula esok hingga 31 Mei ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, enam dron akan digunakan di kawasan titik panas untuk mengesan pelbagai kesalahan dilakukan pengguna jalan raya.
Antara 288 titik panas yang sering berlaku kemalangan ialah laluan dari Kuala Lipis ke Gua Musang, Gua Musang ke Kuala Krai, Gerik ke Jeli, Hulu Terengganu ke Kuala Terengganu, Segamat ke Mersing, dan Terowong Menora ke Sungai Perak.
“Kita akan menggunakan dron secara maksimum untuk mengesan kesalahan seperti memotong di garisan berkembar atau menggunakan lorong kecemasan di lebuh raya.
“Sebelum ini (Ops Hari Raya Aidilfitri pada Mac lalu), dron hanya digunakan pada waktu tertentu. Namun kali ini, kita akan menggunakan dron sepanjang Ops HRAA,” katanya di Dengkil dekat sini.
Jazmanie berkata, penggunaan dron mula dilaksanakan pada Ops Hari Raya Aidilfitri lalu dan hasilnya, JPJ mengeluarkan 5,000 notis temu siasat mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sepanjang operasi dilaksanakan nanti, JPJ akan memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan yang dikenal pasti sebagai penyumbang utama kemalangan jalan raya,” katanya.
Jazmanie berkata, kesalahan itu meliputi kegagalan mematuhi had laju, tidak mematuhi isyarat lalu lintas (lampu merah), memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, membawa lebih muatan, dan membawa muatan secara berbahaya.
Beliau berkata, JPJ akan turut mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam, membabitkan aspek teknikal, pematuhan GPS, Peranti Had Kelajuan (SLD), Audit Keselamatan (JISA) serta permit pengendali.
Katanya, operasi turut diperkukuhkan melalui penggunaan teknologi dan aset penguatkuasaan seperti Kamera Aksi Pengawasan (EAC) serta Kamera Badan (BWC).
Selain itu, rondaan serta pemantauan membabitkan seramai 2,500 pegawai dan kakitangan JPJ. – MalaysiaGazette
















