SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan mengingatkan rakyat supaya tidak terus terperangkap dengan politik perkauman yang menurutnya hanya memecah-belahkan masyarakat dan menghalang pembangunan negara.
Beliau berkata, kerajaan negeri Selangor hari ini membuktikan bantuan dan pembangunan boleh dilaksanakan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang rakyat.
“Bila kita bantu orang Melayu, ada yang marah. Bila kita bantu orang India, ada pula yang marah. Sampai bila kita mahu hidup berpecah macam ini?
“Kita semua rakyat Malaysia. Kerajaan perlu bantu semua rakyat tanpa kira warna kulit,” katanya ketika berucap pada program Ceramah Isu Semasa Pakatan Harapan Parlimen Kota Raja hari ini.
Dalam ucapannya, Preakas turut mempertahankan pencapaian kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari terutama dalam soal pembangunan, pendidikan dan kebajikan rakyat.
Beliau berkata, antara fokus utama yang diberi perhatian di kawasan Kota Kemuning sejak beliau menjadi wakil rakyat ialah isu banjir, kesesakan trafik dan pendidikan.
Menurutnya, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM100 juta bagi projek tebatan banjir di Sri Muda selain projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Klang bernilai RM600 juta bagi mengurangkan risiko banjir di beberapa kawasan termasuk Alam Megah dan Kampung Baru Hicom.
Katanya, beberapa projek tambahan seperti pembinaan rumah pam dan pintu air baharu turut dilaksanakan bagi memastikan masalah banjir dapat dikawal dengan lebih baik.
“Kita bukan sekadar bercakap, tetapi buat kerja untuk selesaikan masalah rakyat,” ujarnya lagi.
Beliau turut berkata penggunaan sistem lampu isyarat pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di beberapa kawasan mula membantu mengurangkan kesesakan trafik walaupun mengakui isu itu memerlukan penyelesaian jangka panjang.
Dalam pada itu, Preakas berkata kerajaan negeri juga memberi perhatian serius terhadap pembangunan pendidikan terutama membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.
Katanya, pelbagai program termasuk kelas tuisyen percuma dan motivasi peperiksaan telah membantu meningkatkan pencapaian pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan Kota Kemuning.
“Tahun ini kita akan buka pusat tuisyen percuma untuk anak-anak yang akan ambil SPM supaya ibu bapa yang susah tidak perlu terbeban,” katanya.
Beliau turut mengumumkan pembinaan sekolah baharu di Kota Kemuning yang menurutnya sudah lama dinantikan penduduk selepas beberapa kali tertangguh sebelum ini.
Selain itu, Preakas berkata Selangor terus kekal sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara dan berjaya menarik pelaburan bernilai ratusan bilion ringgit termasuk dalam sektor pusat data dan teknologi AI.
Menurutnya, kestabilan politik serta pentadbiran kerajaan negeri yang tersusun menjadi antara faktor utama pelabur terus memilih Selangor.
“Banyak peluang pekerjaan diwujudkan dan bukan rakyat Selangor sahaja yang datang bekerja di sini, malah rakyat dari negeri lain juga mencari rezeki di Selangor,” katanya.
Beliau turut mempertahankan pelbagai inisiatif kebajikan kerajaan negeri termasuk bantuan haji RM1,500, program Bingkas, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan bantuan baucar perayaan untuk rakyat pelbagai kaum.
Katanya, kerajaan negeri juga mempunyai simpanan rizab mencecah RM4 bilion yang digunakan antaranya bagi persediaan menghadapi sebarang krisis atau kecemasan melibatkan rakyat.
“Ini bezanya kerajaan yang fokus kepada rakyat dan kerajaan yang hanya pandai bermain sentimen kaum,” katanya lagi.-MalaysiaGazette
















