KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sepatutnya menyelesaikan tiga isu utama yang menjadi pertimbangan parti itu untuk mengkaji semula hubungan dengan Bersatu melalui meja rundingan dan bukannya secara terbuka.
Biro Politik Bersatu dalam satu kenyataan menyatakan, isu-isu itu sepatutnya dibawa ke meja musyawarah antara kedua-dua parti dan diselesaikan secara dalaman dengan penuh harmoni.
“Oleh kerana Presiden Pas telah membuat kenyataan terbuka mengenainya, maka Biro Politik Bersatu berpendirian bahawa perkara-perkara tersebut perlu diperjelaskan kepada umum.
“Ia bagi memastikan tidak menimbulkan salah faham dan persepsi negatif terhadap Bersatu dalam kalangan ahli-ahli parti dan masyarakat,” katanya Biro Politik Bersatu menerusi satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, hubungan Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) ibarat retak menanti belah apabila parti Islam itu kini sedang mengkaji dan meneliti satu persatu percanggahan serta tindakan negatif yang dilakukan oleh rakan sekutunya itu.
Abdul Hadi berkata, tindakan Bersatu menolak hasrat untuk memperkukuh PN dengan menyekat keahlian parti Melayu-Islam serta parti bukan Islam tidak ekstrem adalah sesuatu yang tidak menyenangkan.
Mengulas lanjut, mengenai isu pertukaran Menteri Besar Perlis, Bersatu menyatakan bahawa pelantikan tersebut adalah di bawah kuasa budi bicara mutlak Raja Perlis, Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
“Tuduhan bahawa Bersatu khianat adalah melampau kerana apa yang dilakukan oleh parti dalam menjunjung titah DYMM Tuanku Raja Perlis adalah teratur dan beradab,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Bersatu sudah menghadap bersama Raja Perlis pada 25 Oktober 2025 melibatkan kedua-dua Presiden parti.
“Bagaimanapun, sesi tersebut terpaksa dibatalkan kerana Presiden Pas tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu, sebelum baginda bertitah agar kedua-dua parti menyerahkan calon alternatif.
“Kami menafikan dakwaan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu menarik sokongan terhadap Menteri Besar sedia ada,” katanya.
Selain itu, Biro Politik Bersatu juga menyangkal dakwaan parti itu hanya memperbanyakkan calon tanpa mempunyai kekuatan jentera yang kukuh dengan mendedahkan data keahlian semasa.
“Ibu Pejabat Bersatu menerima ratusan permohonan ahli baharu setiap hari, khususnya dalam kalangan golongan muda.
“Kekuatan Bersatu bukan sahaja bergantung pada jentera, malah didorong oleh jenama parti yang sederhana, inklusif, dan progresif serta rekod kepimpinan yang telah teruji,” katanya.
Dalam pada itu, Bersatu juga menjelaskan tindakan menggantikan individu terbabit dibuat selepas mereka dikenakan tindakan disiplin dan gugur keahlian di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Parti.
“Bersatu mendedahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menerusi surat bertarikh 7 Mei lalu telah mengesahkan bahawa tindakan disiplin tersebut adalah teratur dan berperlembagaan.
“PAS digesa untuk menghormati amalan dan urusan dalaman parti komponen lain,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai krisis politik Negeri Sembilan, Biro Bersatu menegaskan, isu tersebut telah diperjelaskan secara panjang lebar dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada 16 Mei lalu dan diambil maklum oleh semua pihak tanpa sebarang bantahan.
“Bersatu turut mengesahkan akan menjawab surat tuntutan penjelasan rasmi daripada Pas yang diterima melalui aplikasi WhatsApp pada 20 Mei lalu secara bertulis dan terperinci.
Mengulas mengenai dakwaan Bersatu menolak konsep ‘Penyatuan Ummah’ dengan menghalang kemasukan parti baharu dalam PN, pihaknya menegaskan ketetapan konsensus MT PN pada 16 Mei memutuskan untuk mendahulukan kerjasama pilihan raya.
“Manakala keahlian penuh akan dipertimbangkan kemudian. Sebuah jawatankuasa khas juga telah diwujudkan untuk memperhalusi pembahagian kerusi,” katanya.
Sehubungan itu, Bersatu melahirkan rasa kesal atas tindakan menuduh secara terbuka.
“Sejak era kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, semua keputusan PN sentiasa dibuat berasaskan prinsip konsensus dan musyawarah, bukannya melalui kuasa veto mana-mana individu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















