KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga individu termasuk dua wanita yang cuba merempuh anggota polis dalam kejadian di Jalan Batu 15 1/4, Dusun Tua, Hulu Langat, dekat Kajang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.30 malam.
“Siasatan awal mendapati sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin melepaskan tembakan selepas berdepan ancaman ketika cuba menahan tiga suspek bersama sebuah kenderaan di lokasi kejadian.
“Polis kemudiannya menahan seorang lelaki dan dua wanita tempatan yang berada di dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Naazron, semakan mendapati suspek lelaki mempunyai enam rekod jenayah dan tiga rekod narkotik.
Suspek wanita pertama pula mempunyai empat rekod jenayah serta 11 rekod narkotik, manakala suspek wanita kedua mempunyai enam rekod jenayah dan dua rekod narkotik.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan digunakan suspek memakai nombor pendaftaran palsu.
Selain itu, polis turut merampas beberapa unit telefon bimbit dan alat kawalan jauh kenderaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes disiasat IPD Tampin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas. -MalaysiaGazette
















