JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Johor perlu kekal tenang kerana parti tidak berada dalam keadaan rapuh hanya kerana segelintir bekas pemimpin dan ahlinya keluar dan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya maklum kenyataan dikeluarkan beberapa bekas pimpinan dan anggota PKR Johor berhubung keputusan meninggalkan parti serta memilih haluan politik yang baharu.
“Keadilan menghormati hak setiap individu untuk menentukan pendirian politik masing masing. Namun, keputusan meninggalkan perjuangan tidak wajar disertai dengan tuduhan melulu, naratif yang mengelirukan atau kenyataan yang lebih bersifat emosi daripada fakta.
“Sebagai sebuah parti yang melalui proses demokrasi terbuka, sudah tentu akan wujud perbezaan pandangan, persaingan dan juga kekecewaan.
“Namun, kematangan politik menuntut agar sebarang rasa tidak puas hati diurus melalui saluran yang betul, bukannya dengan memilih pentas media untuk melemparkan persepsi yang boleh mengelirukan anggota dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam bekas pemimpin dan ahli PKR Johor umum keluar parti dan memaklumkan penubuhan Jawatankuasa Sementara Bersama Johor.
Ketuanya, Abdul Hamid Ali berkata, penubuhan jawatankuasa sementara itu dibuat selepas mereka mengambil keputusan meninggalkan PKR kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan serta proses pemilihan parti sebelum ini.
Beliau bekas Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Johor itu memberitahu, seramai 2,800 keahlian baharu Bersama sudah direkodkan dalam tempoh seminggu dan hampir 30 peratus daripada jumlah itu merupakan ahli PKR.
Bersama Johor juga menyasarkan untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, adalah tidak adil untuk menggambarkan seolah-olah keseluruhan parti berada dalam keadaan rapuh hanya kerana segelintir individu memilih untuk membawa haluan berbeza.
Hakikatnya ujar beliau, PKR Johor terus bergerak dengan struktur kepimpinan yang kukuh, jentera aktif dan anggota akar umbi kekal setia kepada perjuangan reformasi.
“Dakwaan kononnya ribuan anggota akan keluar bersama juga tidak harus dijadikan alat propaganda politik semata mata.
“Keadilan tidak berpolitik dengan angka yang dicanang untuk mencipta persepsi, sebaliknya berpegang kepada fakta, kerja lapangan dan kekuatan sebenar di akar umbi,” tegasnya.
Katanya, jika benar ada rasa kecewa atau perbezaan prinsip, itu adalah perkara biasa dalam politik.
Namun ujar beliau, rakyat cukup matang untuk menilai sama ada sesuatu keputusan benar-benar berasaskan prinsip perjuangan atau sekadar reaksi terhadap kekecewaan peribadi selepas proses demokrasi parti.
PKR Johor katanya, tidak akan terheret dalam politik dendam atau polemik yang tidak membina.
Menurutnya, fokus kami kekal jelas iaitu memperkukuh organisasi, merapatkan saf perjuangan dan memastikan parti berada dalam kesiapsiagaan penuh menghadapi cabaran politik akan datang.
“Perjuangan ini tidak pernah dibina atas kekuatan individu tertentu, jauh sekali bergantung kepada mereka yang datang dan pergi mengikut musim politik,” katanya.
PKR katanya, telah melalui cabaran yang jauh lebih besar dan akan terus berdiri kerana kekuatannya terletak pada prinsip, bukan personaliti.
“Kepada seluruh anggota Keadilan Johor, kekalkan ketenangan, teruskan kerja dan jangan terperangkap dalam permainan persepsi. Masa depan perjuangan ini ditentukan oleh mereka yang kekal bekerja, bukan mereka yang memilih untuk meninggalkan medan,” katanya.- MalaysiaGazette
















