KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi akan menyediakan satu nota khas kepada Jemaah Menteri bagi membentangkan hasil resolusi daripada Pemukiman Membanteras Penipuan Dalam Talian, Jun ini.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah drastik ini diambil bagi memperkukuh ekosistem keselamatan siber negara ekoran ancaman jenayah dalam talian yang semakin meruncing.

“Kita akan sediakan satu nota kepada Jemaah Menteri hasil pemukiman membanteras penipuan dalam talian ini.

“Jika ada keperluan kita mungkin tubuhkan satu jawatankuasa yang dianggotai agensi dan pihak yang dijemput dalam pemukiman tersebut.

“Kita akan mulakan dengan komposisi itu termasuk wakil daripada Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian (JKDM) yang dipengerusikan Tan Sri Hasnah Mohamed Hashim,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Penut upan Pemukiman Antara Agensi Mengenai Pembanterasan Penipuan Dalam Talian 2026 di Connexion Conference & Event Center, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 24 MEI 2026.

Terdahulu beliau merasmikan penutupan Pemukiman Membanteras Penipuan Dalam Talian di Pusat Konvensyen Connexion, Bangsar South, di sini.

Selain itu, Fahmi mendedahkan bahawa setakat ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima permohonan untuk menurunkan sebanyak 271,472 kandungan negatif di platform media sosial.

“Dari jumlah tersebut, majoriti besar iaitu sebanyak 91 peratus adalah melibatkan aktiviti penipuan dan judi dalam talian.

“Facebook menjuarai kandungan judi dan penipuan dalam talian di mana 81 peratus dikesan melibatkan judi dalam talian.

“Manakala 58 peratus pula ialah kes penipuan dikesan berlaku di platform yang sama (Facebook),” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji komitmen platform penstriman video pendek, TikTok, yang disifatkan sebagai platform yang paling mudah memberikan kerjasama erat dengan pihak Kerajaan Malaysia setakat ini.

“Untuk pemukiman kali ini, kita telah menjemput semua pihak bank dan syarikat telekomunikasi (telco).

“Bagaimanapun, hanya pihak TikTok sahaja yang hadir, manakala pihak Meta gagal memberi kerjasama sepanjang tiga pemukiman ini,” katanya.

Selain iry katanya, bagi mengekang pengaliran wang mangsa ke akaun keldai, Fahmi menggesa agar aspek kerjasama dengan pihak bank dipertingkatkan segera.

Beliau turut mempersoalkan mengapa mekanisme keselamatan ketat yang diguna pakai oleh sistem kad kredit tidak dilaksanakan untuk transaksi perbankan lain.

“Apabila ada transaksi mencurigakan melibatkan kad kredit, pembayaran akan dihentikan sementara, dan pihak bank akan menghubungi pemilik kad untuk pengesahan.

“Persoalannya, kalau kad kredit boleh buat begitu, kenapa kaedah yang sama belum dilaksanakan untuk transaksi perbankan lain?” soal beliau.

Tambah beliau, langkah ini penting bagi menyekat transaksi berulang berdasarkan data yang diperoleh daripada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

“Gerak kerja kempen kesedaran membasmi penipuan dalam talian ketika ini dilihat bergerak secara bersendirian oleh pihak telco, bank, dan MCMC.

“Saya menyarankan agar satu kempen anti-penipuan bersepadu dan nasional dilancarkan secara bersama agar impaknya lebih menyeluruh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast