KUALA LUMPUR – Sebanyak 101 kontena mengandungi e-waste berjaya dibawa keluar ke negara asal melalui proses re-export.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang berkata, tindakan itu membuktikan komitmen dan ketegasan agensi penguat kuasa dalam memastikan Malaysia tidak dijadikan destinasi pelupusan haram sisa elektronik antarabangsa.
“Kerjasama strategik antara semua agensi berkaitan akan terus diperkukuhkan bagi memastikan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara sentiasa berada pada tahap terbaik demi melindungi alam sekitar, keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, menurut AKPS Pelabuhan Klang, sebanyak 330 kontena dikenal pasti mengandungi sisa elektronik dalam tempoh 27 Januari hingga 19 Mei lalu.
Katanya, ia hasil pemeriksaan dilakukan AKPS Pelabuhan Klang bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), SIRIM, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Ujarnya, pemeriksaan dan penguatkuasaan dilakukan secara bersepadu demi membanteras kemasukan sisa elektronik (e-waste) secara tidak sah ke dalam negara. – MalaysiaGazette
















