Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Hannah Yeoh bergambar bersama peniaga pada Program Tinjauan Mesra di Medan Selera, Presint 9, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 25 MEI 2026.

PUTRAJAYA – Seramai 244 peniaga kecil di Putrajaya bakal menikmati pengurangan kadar sewa bulanan sebanyak 30 peratus menerusi inisiatif baharu yang diumumkan Perbadanan Putrajaya bermula 1 Jun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pengurangan sewa itu melibatkan peniaga medan selera, kios penjaja dan pasar milik Perbadanan Putrajaya bagi tempoh 12 bulan sehingga 31 Mei 2027.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Hannah Yeoh bercakap pada sidang media pada Program Tinjauan Mesra di Medan Selera, Presint 9, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 25 MEI 2026.

Menurutnya, langkah tersebut dilaksanakan bagi mengurangkan tekanan operasi selain membantu peniaga kecil terus bertahan dalam keadaan ekonomi yang masih mencabar.

“Peniaga kecil tidak patut dibiarkan berjuang sendirian ketika cabaran kos sara hidup terus dirasai rakyat.

“Kita memahami ramai peniaga memulakan hari seawal pagi demi memastikan perniagaan terus berjalan dan keluarga mereka terbela.

Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir Program Tinjauan Mesra di Medan Selera Presint 9, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi melayakkan peniaga menikmati pengurangan kadar sewa tersebut, mereka perlu menyelesaikan tunggakan sewa sehingga bulan ini.

Katanya, syarat itu juga memberi peluang kepada peniaga untuk menyusun semula komitmen sewaan secara lebih stabil dan mampan.

Dalam perkembangan sama, turut diperkenalkan inisiatif mesra warga emas dengan tawaran diskaun makanan dan minuman antara 10 hingga 15 peratus kepada pelanggan berusia 60 tahun ke atas.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Hannah Yeoh beramah mesra bersama peniaga pada Program Tinjauan Mesra di Medan Selera, Presint 9, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 25 MEI 2026.

“Hari ini juga kita mengumumkan inisiatif Perbadanan Putrajaya yang mesra warga yang mana peniaga telah bersetuju untuk memberikan diskaun makanan dan minuman 10 hingga 15 peratus kepada warga usia emas yang berusia 60 tahun ke
atas.

“Diskaun ini tak boleh terpakai untuk satu keluarga, hanya khas untuk yang warga emas yang makan dan minum.

“Kita mahu golongan lebih terkesan seperti warga emas yang tidak mempunyai pendapatan tetap turut menikmati manfaat ini,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan turut menggalakkan peniaga menyokong amalan komuniti sihat dan mampan termasuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna serta menyediakan pilihan makanan lebih sihat kepada pelanggan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast