Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

SIMPANG AMPAT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengambil masa hampir empat jam bagi menamatkan operasi kebakaran membabitkan dua kilang dan sebuah asrama pekerja di Kawasan Industri Ringan Juru di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam tadi, kebakaran melibatkan kilang pembuatan minuman kesihatan, kilang kabinet dapur serta asrama pekerja yang terletak di dalam gudang kitar semula barangan plastik.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.25 malam sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai tiba di lokasi 13 minit kemudian.

Menurutnya, operasi turut dibantu anggota dari BBP Bandar Perda, BBP Sungai Bakap serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.

“Kebakaran melibatkan dua unit kilang lot berkembar dua tingkat iaitu Scale Holdings Sdn Bhd yang menjalankan pembuatan minuman kesihatan dan Greenwoods Creations Sdn Bhd yang menjalankan pembuatan kabinet dapur.

“Kebakaran turut melibatkan sebuah asrama pekerja jenis tidak kekal di dalam gudang kitar semula barangan plastik milik Unicron Company,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebakaran menyebabkan premis Scale Holdings Sdn Bhd musnah 15 peratus manakala Greenwoods Creations Sdn Bhd mengalami kemusnahan 40 peratus.

Katanya, selain itu, asrama pekerja milik Unicron Company musnah kira-kira 90 peratus dalam kejadian berkenaan.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan kaedah ofensif, defensif dan ‘fire break’ bagi mengelakkan api merebak ke kawasan lain.

“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.22 malam sebelum kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca bahaya di lokasi kejadian.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.23 tengah malam dan kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, seramai lapan pekerja warga asing dan tempatan yang berada di lokasi ketika kejadian, dilaporkan selamat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast