Jemaah Malaysia siap sedia menunggu giliran untuk menaiki bas ke Arafah.

MAKKAH – Lebih 31,000 jemaah Malaysia mula bergerak ke Arafah bagi memulakan operasi masyair bagi haji musim 1447H.

Pergerakan secara berperingkat-peringkat itu bermula jam 7 pagi (waktu tempatan) dan dijadual selesai petang ini.

Media dimaklumkan sebanyak 25 buah bas disediakan untuk membawa jemaah dari setiap maktab dan bas-bas berkenaan akan melakukan tiga kali trip perjalanan.

Bagi musim haji tahun ini, TH menempatkan jemaah Malaysia di lima bangunan penginapan di Makkah, iaitu Abraj Al Tayseer, Rehab Al Janadriyah, Al Kiswah Tower Hotel, Abraj Al Janadriyah, dan Qasr Al Janadriyah.

Perjalanan jemaah ke Arafah dijangka mengambil masa antara 30 hingga 40 minit, bergantung kepada aliran trafik.

Semua jemaah haji akan melaksanakan wukuf pada 9 Zulhijah, bersamaan 26 Mei 2026.

Dr. Zulkifli Hasan sedang menitip pesanan kepada jemaah Malaysia sebelum berlepas ke Arafah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menasihatkan semua jemaah haji terus fokus beribadah sebaik sahaja tiba di sana.

Beliau juga berpesan agar jemaah menjaga kesihatan masing-masing kerana cuaca panas.

“Cuaca di sana panas, jangan keluar pada waktu tengah hari. Kita tidak mahu ada jemaah yang tergugat kesihatan, kita mahu mereka fokus kepada ibadah. Ikutlah nasihat dan bimbingan daripada maktab masing-masing.

“Insya-Allah kita percaya jemaah haji Malaysia, sentiasa berdisiplin, bersiap sedia untuk menjadi tetamu Allah,” katanya ketika ditemui hari ini selepas menyaksikan pelepasan jemaah haji di Hotel Al Tayseer hari ini.

Pengarah Urusan TH, Mustakim Mohamad (vest hijau) meninjau para petugas yang berlepas ke Arafah.

Lewat malam tadi, sebanyak 353 petugas Lembaga Tabung Haji berlepas ke Arafah bagi persiapan awal menyambut kedatangan jemaah hari ini.

Pergerakan itu melibatkan lapan buah bas.

Mereka yang berlepas itu akan membuka pusat gerakan operasi bagi memberi laporan terkini operasi masyair dan membuat persediaan rapi di kawasan perkhemahan di Arafah.

Musim haji tahun ini menyaksikan seramai 31,600 jemaah Malaysia dibawa secara berperingkat ke Tanah Suci dengan perlepasan bermula pada 18 April lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast