KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan bahawa satu insiden telah berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari semalam semasa kerja-kerja penyelenggaraan bot penyelamat di unit Penyimpanan Terapung dan Pemuatan (FSO) Sepat, yang terletak di medan minyak Sepat di luar pantai Terengganu.
Petronas dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, seramai empat kakitangan kontraktor terlibat dalam insiden tersebut.
“Dukacita dimaklumkan bahawa tiga kakitangan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada kira-kira jam 5.57 petang semalam, manakala seorang kakitangan yang cedera telah dipindahkan untuk menerima rawatan perubatan dan kini masih berada di bawah pemantauan,” katanya.
Menurut Petronas, siasatan berhubung punca insiden sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.
“Petronas merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga, rakan dan rakan sekerja mangsa yang terkorban.
“Keutamaan segera syarikat adalah untuk menyokong kebajikan mereka yang terjejas,” katanya. – MalaysiaGazette
















