TANJUNG SEPAT – Cubaan berani menyeludup dadah jenis syabu bernilai lebih RM4.4 juta di waktu siang dengan jarak kira-kira 100 meter dari pos Pasukan Operasi (PGA) berjaya dipatahkan di kawasan persisir pantai, dekat Jalan Ladang Tumbok Belakang, di sini hari ini.
Kegiatan itu dikesan menerusi Op Taring Nyah 1 oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6 sekitar 11.30 pagi pada 23 Mei lalu dan berjaya menahan dua lelaki warga Indonesia berusia 30-an.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, tangkapan kedua-dua suspek dilakukan ketika keadaan air laut surut dan mereka dipercayai sedang menunggu bot untuk membawa keluar dadah berkenaan dari Malaysia.
“Hasil pemeriksaan, kita menemukan dadah disyaki syabu di dalam beg dengan anggaran berat kira-kira 89 kilogram (kg) yang disorok di dalam semak di kawasan berkenaan.
“Siasatan lanjut mendapati, suspek dipercayai cuba keluar dari Malaysia melalui laluan laut dan ada kemungkinan dadah ini juga akan di bawa ke Indonesia.
“Dadah itu dibungkus di dalam bungkusan paket minuman sebelum dimasukkan ke dalam beg bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua suspek merupakan PATI yang dipercayai sudah lebih dua bulan berada di negara ini dan disyaki bekerja di kawasan ladang sebelum terbabit dalam kegiatan ini.
“Dalam operasi ini, kita juga merampas sebuah telefon bimbit yang digunakan sebagai alat komunikasi sindiket terbabit sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM4.4 juta
“Kesemua tangkapan dan barang rampasan itu telah diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut,”jelasnya.

Beliau berkata, kes terbabit akan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.
“PGA akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab menjaga keselamatan negara serta ketenteraman awam secara profesional
“Orang ramai diminta menjadi mata dan telinga pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan bagi memastikan negara tidak dicerobohi elemen jenayah yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Untuk rekod, sebanyak 179 serbuan telah dijalankan di kawasan tanggungjawab Briged Tengah PGA dalam tempoh 1 Januari hingga hari ini.
Beliau berkata, ia meliputi negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor.
Hasilnya, seramai 611 individu berjaya ditangkap, dengan pelbagai jenis rampasan melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM254 juta. – MalaysiaGazette
















