Salah sebuah kenderaan terbabit kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat awal pagi tadi

KUANTAN – Terlanggar seekor biawak di tengah jalan menjadi punca kemalangan tiga buah kenderaan dalam kejadian di kilometer 90 Jalan Kuantan-Segamat, di Pekan awal pagi tadi.

Dalam nahas membabitkan sebuah Proton Saga, Perodua Axia dan Perodua Alza itu, seorang kanak-kanak berusia 14 tahun dilaporkan maut di lokasi kejadian, manakala enam daripada 11 mangsa lain cedera.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, Perodua Axia dipandu wanita berusia 25 tahun bersama tiga penumpang ketika kejadian dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah ke arah Kuantan.

“Bagaimanapun, dipercayai ketika sampai di lokasi, kereta itu telah masuk ke laluan bertentangan kerana terlanggar seekor biawak dan terbabas ke bahagian kiri jalan.

“Proton Saga dipandu lelaki berusia 41 tahun yang datang dari arah bertentangan cuba mengelak dari bertembung dengan Perodua Axia itu, namun masuk ke laluan bertentangan dan terlanggar sebuah Perodua Alza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seekor biawak lintas jalan jadi punca kemalangan

Akibat kejadian tersebut, Mohd Zaidi berkata, penumpang belakang kereta Proton Saga iaitu Muhammad Akmal Danial Mohd Faidhie, 14, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi penumpang belakang kereta itu iaitu adik lelaki mangsa berusia 8 tahun pula mengalami kecederaan patah kaki kiri manakala pemandu yang merupakan bapa saudara mereka serta penumpang hadapan kereta terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Pemandu Perodua Alza hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian lutut, manakala isterinya dan bayi mereka berusia 10 bulan serta ibunya yang merupakan penumpang belakang tidak mengalami kecederaan.

“Pemandu Perodua Axia pula dilaporkan mengalami cedera ringan, manakala penumpang hadapan yang merupakan kakaknya dilaporkan patah kaki sebelah kiri. Dua lagi penumpang kereta itu tidak cedera,” tambahnya lagi.

Salah sebuah kereta terbabit kemalangan Jalan Kuantan-Segamat awal pagi tadi

Beliau berkata, kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk menerima rawatan lanjut.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

ARTIKEK BERKAITAN

Kanak-kanak maut, 11 cedera dalam nahas 3 kenderaan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast