Anggota penguat kuasa JPJ WPKL menjalankan pemeriksaan motosikal dalam Ops Khas Motosikal HRAA di Plaza Tol Sentul Pasar, Kuala Lumpur, malam tadi. -Foto: Facebook JPJ WPKL

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) mengeluarkan sebanyak 150 notis atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidiladha (HRAA) Bilangan 1/2026 di Plaza Tol Sentul Pasar, di sini, malam tadi.

Operasi dari pukul 8 malam hingga 11 malam itu diketuai Ketua Seksyen Pengurusan Penguat Kuasa JPJ WPKL, Jasman Jamaluddin.

Menurut Jasman, sebanyak 2,887 kenderaan diperiksa sepanjang operasi berkenaan dengan 79 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Sebanyak enam buah motosikal turut disita dalam operasi tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Antara kesalahan utama yang dikesan termasuk tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, memandu bawah umur serta penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Selain itu, terdapat juga beberapa kesalahan teknikal lain yang melanggar peraturan jalan raya.

Operasi berkenaan membuktikan komitmen jabatan itu bersama rakan strategik dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terjamin khususnya menjelang musim perayaan.

Orang awam yang mempunyai sebarang aduan trafik boleh menyalurkannya melalui e-mel [email protected] atau aplikasi e-aduan@JPJ dengan menyertakan maklumat lengkap pengadu dan aduan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast