KUANTAN – Dua buah premis dua tingkat di kawasan Bandar Satelit, Muadzam Shah, Rompin diserbu polis selepas disyaki dijadikan pusat perlombongan mata wang digital (Bitcoin) secara haram.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, serbuan dijalankan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin bersama Balai Polis Muadzam Shah dengan kerjasama Pasukan SEAL Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuantan Zon Timur kira-kira jam 2.30 petang semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati, premis yang dalam keadaan tertutup dan tidak beroperasi di Jalan Makmur 2, Presint Niaga Bandar Satelit, Muadzam Shah dipercayai digunakan sebagai pusat perlombongan Bitcoin secara haram dengan menggunakan sambungan elektrik yang dibuat secara tidak sah.
“Dalam operasi tersebut, sejumlah 36 unit mesin perlombongan mata wang digital, 18 unit blower dan kipas, 2 set komputer serta 2 unit modem WiFi yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti perlombongan mata wang digital secara haram telah dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Sharif memaklumkan bahawa pihaknya masih dalam proses mengenal pasti dan mengesan individu yang terlibat dalam kegiatan itu.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990.
“Polis akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti jenayah berkaitan penyalahgunaan bekalan elektrik serta perlombongan mata wang digital secara haram yang boleh mengakibatkan kerugian besar kepada negara dan membahayakan keselamatan awam,” tegasnya.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan sedemikian diminta tampil menyalurkannya bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















