Anwar Ibrahim.

BUKIT MERTAJAM – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim belum mengadakan perjumpaan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan isu berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

“Belum, belum lagi,” katanya ringkas ketika diminta mengulas sama ada sudah ada perbincangan antara kedua-dua gabungan itu untuk bertanding secara solo pada PRN di dua negeri berkenaan.

Anwar ditemui selepas menghadiri Majlis Agihan Perdana Lembu Korban Madani Parlimen Permatang Pauh di Padang Homestay Mengkuang Titi di sini, hari ini.

Media pada 17 Mei lalu melaporkan Anwar Ibrahim bersedia mengadakan rundingan bersama Ahmad Zahid berhubung keputusan BN dan PH bertanding solo pada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau yang juga Presiden PKR berharap rundingan berkenaan akan berjalan dengan baik demi kebaikan kedua-dua belah pihak.

Sebelum ini, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor.

Pada PRN Johor ke-15 yang berlangsung Mac 2022, BN membentuk kerajaan negeri apabila menang 40 daripada 56 kerusi DUN.

Manakala Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hampir pasti diadakan dalam tempoh empat bulan dari sekarang.

“Pastinya dalam tempoh 120 hari lagi sebab kita tidak boleh tunggu sehingga tarikh tamat pada 30 Disember ini kerana itu sudah hampir masuk bulan Ramadan,” katanya.

PRN Melaka pada 2021 pula, BN menang 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast