Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar Muthuvelu menunjukkan barang rampasan pada sidang media mengenai kejayaan PDRM menumpaskan penjenayah kes samun dalam kejadian berbalas tembakan malam tadi ketika di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 MEI 2026.

KAJANG – Dua penjenayah tegar warga tempatan yang mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Jalan Persiaran Seri Putra 2, Bandar Seri Putra semalam menjadikan sasaran kediaman berhampiran lebuh raya yang tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) sebagai sasaran.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata suspek yang berusia 25 dan 46 dipercayai aktif di Selangor dan Melaka.

Menurutnya, terdahulu kereta yang dinaiki suspek dikesan menerusi rondaan cegah kejadian samun kira-kira jam 9.10 malam tadi sebelum dipintas anggota D9.

“Suspek bagaimanapun enggan berhenti dan terus memecut laju sehingga berlaku perlanggaran,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.

Ujarnya, suspek kemudian melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang mengarahkan mereka berhenti.

“Bagi menghentikan ancaman, polis telah membalas tembakan. Suspek disahkan maut akibat terkena tembakan,” jelasnya.

Tambahnya, revolver.38 smith & wesson, enam butir peluru, tiga butir kelongsong peluru dan empat bilah parang antara yang ditemui di kereta suspek.

Turut ditemui, pakaian, topeng muka, sarung tangan, peralatan pecah rumah iaitu besi kuku kambing, tukul besi, pemutar skru, pemotong besi,wayar kabel dan tiga keping nombor plat kenderaan.

Mengulas lanjut Kumar mengesahkan suspek mempunyai kira-kira 30 rekod jenayah lampau berkaitan rompakan berkumpulan, pecah rumah dan curi kenderaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast