JOHOR BAHRU – Sudah tiba masanya kerajaan berhenti dengan retorik politik atau janji bermusim terutama setiap kali menjelang pilihan raya, sebaliknya tampil dengan dasar yang benar-benar efektif, menyeluruh dan menyentuh realiti kehidupan rakyat.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, antara yang perlu diberi perhatian serius adalah tekanan hidup yang semakin menghimpit golongan ibu tunggal dan wanita dalam kategori B40 di negeri ini.
Kata beliau, ia khususnya dalam suasana ekonomi semasa yang menyaksikan peningkatan kos sara hidup secara berterusan, ketidakseimbangan peluang ekonomi serta beban tanggungjawab keluarga yang semakin berat.
Hakikatnya, tambah beliau, ramai dalam kalangan mereka bukan sahaja berdepan cabaran kewangan, malah terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai pencari nafkah utama, pengurus rumah tangga dan penjaga anak-anak secara bersendirian dalam keadaan sokongan sosial yang masih belum mencukupi.
“Sehubungan itu, Pejuang Johor menggesa kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera dan lebih menyeluruh melalui pelaksanaan bantuan khas bersasar kepada ibu tunggal dan wanita B40.
“Ini bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup semasa, di samping mempercepat dan memperkemaskan sistem penyampaian bantuan kebajikan agar lebih cekap, telus serta mesra rakyat tanpa kerenah birokrasi yang melampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, katanya, kerajaan perlu memperluas akses latihan kemahiran, keusahawanan dan peluang pekerjaan fleksibel supaya wanita mampu membina sumber pendapatan yang mampan serta meningkatkan taraf hidup keluarga secara berdikari.
Selain itu katanya, kerajaan juga perlu mempertimbangkan penubuhan pusat sokongan komuniti wanita dan keluarga yang lebih komprehensif.
Jelasnya, ini merangkumi bantuan kaunseling, khidmat guaman, perlindungan keselamatan, bantuan penjagaan anak serta sokongan pembangunan sosial yang dapat membantu wanita keluar daripada belenggu kemiskinan dan ketidakstabilan hidup.
Jaringan keselamatan sosial yang lebih kukuh perlu diwujudkan agar tiada ibu tunggal atau wanita dalam kesusahan terus dipinggirkan daripada hak mendapatkan bantuan asas yang sewajarnya, kata Suraya lagi.
Menurutnya, Pejuang Johor percaya bahawa kebajikan wanita dan ibu tunggal bukan sekadar isu kebajikan semata-mata, sebaliknya merupakan tunjang penting kepada kestabilan institusi keluarga, pembangunan modal insan dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Beliau berpendapat, kegagalan menangani isu itu secara serius bukan sahaja memberi kesan kepada golongan terlibat, malah mampu menjejaskan keseimbangan sosial serta masa depan generasi akan datang.
Kebajikan ibu tunggal dan wanita B40 ujarnya, mesti dijadikan agenda utama pembangunan sosial negara kerana wanita yang diperkasa akan melahirkan keluarga yang lebih stabil, masyarakat yang lebih sejahtera dan negeri yang lebih makmur.
Suraya berkata, ini kerana keadaan ini menjadi semakin membimbangkan apabila ramai ibu tunggal dan wanita B40 terus bergelut dengan kenaikan harga barang keperluan asas, kos pendidikan anak-anak, perbelanjaan kesihatan, pengangkutan serta kos penjagaan keluarga yang semakin meningkat tanpa jaminan pendapatan yang stabil.
“Dalam banyak keadaan, golongan ini terpaksa memilih antara memenuhi keperluan asas keluarga atau menanggung komitmen lain yang tidak dapat dielakkan, sekali gus meletakkan mereka dalam keadaan ekonomi yang amat rentan,” katanya.
Pejuang Johor memandang serius isu keciciran bantuan kebajikan yang masih berlaku akibat proses permohonan yang terlalu birokratik, kelewatan kelulusan, kekurangan maklumat serta ketidaksamarataan akses terhadap bantuan, khususnya melibatkan masyarakat luar bandar dan pinggir bandar di Johor.
“Situasi ini memperlihatkan bahawa masih terdapat jurang ketara antara dasar kebajikan yang diumumkan dengan pelaksanaan sebenar di peringkat akar umbi,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















