Temu bual Eksulusif SkopMG bersama Penganalisis Politik UM, DR Muhammad Tawfiq Yaakub dan Felo Majlis Profesor Negara, Prof Dr Azmi Hassan di Pejabat Malaysia Gazette Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto AIZAT ZAINAL, 17 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Kemelut dalaman yang melanda Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin kritikal sehingga mengundang pandangan, jalan perpisahan segera adalah pilihan terbaik berbanding terus menunda konflik.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpendapat, sebarang usaha untuk memulihkan semula hubungan antara kedua-dua parti mutakhir ini bukan satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan.

“Usaha untuk memulihkan hubungan ini sama ada dari Pas atau Bersatu boleh dilakukan, tetapi saya lihat ia agak sukar.

“Ini berdasarkan kenyataan-kenyataan pemimpin parti yang saya lihat seolah-olah bibit-bibit perpecahan itu sudah ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program SKOP MG dengan tajuk Pas-Bersatu: Retak Sikit atau Pecah Terus?

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika perpecahan sememangnya tidak dapat dielakkan, adalah lebih baik ia berlaku pada waktu ini bagi membolehkan kedua-dua parti melakukan fasa pemulihan dalaman dengan kadar segera.

“Lebih baik pecah sekarang daripada tunggu lama kerana apabila pecah sekarang proses rawatan kecederaan politik yang dialami oleh kedua-dua parti dalam PN ini dapat dirawat dengan segera.

“Tapi kalau pecah sekarang kemudian berbaik, pecah lagi, lagi-lagi nak dekat pilihan raya, itu akan memberi kesan kepada rakyat.

“Ia secara tidak langsung boleh mewujudkan berapa pertandingan di kerusi-kerusi panas,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohammad Tawfik berkata, masa depan gabungan blok pembangkang kini bergantung sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan corak tindakan yang bakal diambil oleh kepimpinan tertinggi parti masing-masing.

“Saya yakin, yang paling penting iaitu peranan pemimpin. Bagaimana mungkin Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mampu berbuat sesuatu untuk kelangsungan gabungan ini.

“Ditambah dengan Sidang Dewan Rakyat tidak lama lagi yang mana beliau juga merupakan Ketua Pembangkang.

“Di sinilah ujian untuk beliau bagi memastikan retak yang boleh bercantum atau sebaliknya,” katanya agi.

Ditanya mengenai perkara ini sudah sampai ke kemuncak dengan kenyataan terakhir Pas dari Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Mohammad Tawfik berkata, ia mungkin bererti Pas sudah tidak mampu bertahan.

“Mungkin ada luka lama yang selama ini dipendam, namun itu boleh kita anggap sebagai telahan sahaja.

“Apa sahaja kena tunggu dan lihat, cuma seperti saya katakan tidak boleh terlalu lama,” tambahnya.

Terdahulu, Abdul Hadi menerusi satu sidang media memaklumkan parti itu sedang mengkaji semula kerjasama dengan Bersatu kerana sudah lama dikatakan bersabar dengan tindak-tanduk rakan sekutunya itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast