KUALA LUMPUR – Pemangku Ketua Bersekutu Bersatu, Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan mencabar Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik membuktikan dakwaannya kononnya lebih 200,000 ahli Bersatu kini menyokong gerakan ‘Reset’ dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Menurutnya, dakwaan besar seperti itu tidak sepatutnya sekadar dimainkan di media sosial atau dijadikan propaganda politik tanpa bukti jelas di hadapan rakyat.
“Kalau benar ada 200,000 orang, buatlah satu konvensyen. Tak perlu bawa semua pun.
“Bawa 10 peratus sahaja sudah cecah 20,000 orang. Rakyat boleh tengok sendiri kekuatan sebenar,” katanya.
Beliau berkata, politik hari ini bukan lagi boleh dibina melalui persepsi, angka atas kertas atau naratif maya semata-mata kerana rakyat kini lebih matang dalam menilai sesuatu dakwaan politik.
“Politik bukan sekadar angka di Facebook atau cakap-cakap di media.
“Cakap memang mudah. Posting memang mudah. Yang susah ialah membuktikannya,” tegasnya lagi.
Sanjeevan berkata, mana-mana pihak yang mendakwa mempunyai sokongan besar sepatutnya tampil membuktikannya secara terbuka dan bukannya sekadar mencipta persepsi politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Jangan sekadar sembang kencang. Kalau betul ada kekuatan dan sokongan besar, tunjuk kepada rakyat.
“Rakyat sekarang bukan mudah dipengaruhi dengan perang psikologi atau angka yang tidak dapat disahkan,” katanya lagi.
Jelas beliau, kekuatan sesebuah gerakan politik tidak boleh diukur hanya berdasarkan dakwaan atau naratif dimainkan di media sosial, sebaliknya perlu dibuktikan melalui sokongan akar umbi di lapangan.
“Kekuatan sebenar parti atau gerakan politik ialah apabila mampu menghimpunkan penyokong secara nyata, bukan sekadar bermain persepsi di media sosial,” katanya.
Terdahulu, Abdul Rahim yang juga bekas Ketua Menteri Melaka mendakwa lebih 200,000 ahli Bersatu kini bersama gerakan ‘Reset’ dikaitkan dengan Hamzah selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti itu. -MalaysiaGazette
















