KUALA LUMPUR – Filem aksi tempatan TARUNG: Unforgiven terus mencipta fenomena apabila berjaya meraih kutipan RM20.3 juta sejak ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei lalu.
Pencapaian itu sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara filem tempatan paling berjaya dan hangat diperkatakan tahun ini.
Pengarah, penulis skrip serta Penerbit Eksekutif filem berkenaan, Razaisyam Rashid berkata, kejayaan tersebut bukan hanya diukur melalui kutipan tiket, malah penerimaan penonton sepanjang siri jelajah filem itu turut memberi makna besar.
“Apa yang paling menyentuh hati bukan hanya angka kutipan, tetapi peluang untuk melihat sendiri bagaimana TARUNG: Unforgiven diterima penonton.
“Saya berharap kejayaan ini dapat membuka lebih banyak ruang untuk filem aksi tempatan terus berkembang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sejak ditayangkan, filem berkenaan terus mendapat sambutan menggalakkan selain menjadi topik perbualan hangat di media sosial.
Momentum itu turut diperkukuhkan menerusi siri jelajah yang menampilkan barisan pelakon termasuk Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Azira Shafinaz, Amir Ahnaf dan Bront Palarae.
Hujung minggu lalu, siri jelajah di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak menyaksikan ribuan peminat membanjiri setiap lokasi bagi bertemu barisan pelakon serta penggiat filem berkenaan.
Pelakon dan Penerbit Eksekutif TARUNG: Unforgiven, Aedy Ashraf berkata, peluang bertemu peminat secara bersemuka menjadi antara pengalaman paling bermakna sepanjang perjalanan filem itu.
“Melihat reaksi penonton secara berdepan memberi satu perasaan berbeza kerana kami dapat merasai sendiri semangat dan sokongan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
















