PEKAN – Seorang pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bersama isterinya maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Honda City di Kilometer 76 Jalan Kuantan-Segamat, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa, Syah Lokman Ludza Ramli, 50, yang bertugas sebagai pegawai kanan polis di IPD Kuantan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian bersama isterinya, Nurulfiza Ardiana Ambak, 46.
Menurutnya, kemalangan turut menyebabkan enam lagi mangsa termasuk empat anak pasangan terbabit cedera dan menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah.
“Siasatan awal mendapati sebuah Honda City dipandu lelaki berusia 26 tahun dalam perjalanan dari Gelang Patah, Johor menuju ke Terengganu, manakala Proton Wira dipandu mangsa dari arah Kuantan menghala ke Jempol, Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi berkata, ketika tiba di lokasi kejadian yang gelap dan hujan, Proton Wira dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Honda City berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu Proton Wira bersama isterinya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Empat anak pasangan itu yang berada di dalam kenderaan sama turut cedera, termasuk seorang anak lelaki berusia 10 tahun yang mengalami patah kaki kiri,” katanya.
Katanya, tiga lagi anak pasangan itu masing-masing berusia 13, 15 dan 18 tahun mengalami kecederaan ringan serta kecederaan pada bahagian pinggang dan rahang.
Dalam pada itu, pemandu Honda City terbabit hanya mengalami cedera ringan manakala isterinya yang sedang hamil 22 minggu masih menerima rawatan di zon kecemasan Hospital Muadzam Shah.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas Proton Wira dipandu mangsa memasuki laluan bertentangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette
















