Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah), Wan Anwar Wan Ibrahim.
Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah), Wan Anwar Wan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memberi penjelasan terperinci berhubung cadangan menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar hiburan supaya tidak mencetuskan kekeliruan dan polemik dalam kalangan masyarakat.

Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Amanah berkata, konsep hiburan yang mahu dibangunkan di ibu negara perlu dijelaskan secara terbuka termasuk aspek kandungan, skala, garis panduan dan mekanisme kawalan yang akan digunakan.

Menurut pengerusinya, Wan Anwar Wan Ibrahim, perkara itu penting kerana isu hiburan awam tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut ekonomi dan pelancongan tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam dan Melayu.

“Persoalan asas perlu dijelaskan terlebih dahulu, apakah bentuk hiburan yang dimaksudkan? Apakah skala, kandungan, garis panduan dan kawalan yang akan digunakan?

“Perkara ini penting supaya masyarakat tidak dibiarkan membuat tafsiran sendiri yang akhirnya boleh mencetuskan kekeliruan dan polemik,” katanya dalam satu kenyataanhari ini.

Terdahulu, Hannah Yeoh dilaporkan berkata Kuala Lumpur mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai hab hiburan dan acara antarabangsa bagi merancakkan ekonomi serta sektor pelancongan negara.

Kenyataan itu bagaimanapun mencetuskan pelbagai reaksi apabila ada pihak bimbang hala tuju pembangunan hiburan di ibu negara boleh bercanggah dengan nilai budaya dan agama masyarakat tempatan.

Mengulas lanjut, Wan Anwar berkata, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta sensitiviti majoriti rakyat mesti dijadikan asas utama dalam setiap pertimbangan dasar kerajaan.

“Dalam konteks Malaysia, sebarang aktiviti termasuk berkaitan hiburan awam tidak boleh dilihat dari sudut ekonomi, pelancongan atau komersial semata-mata.

“Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan orang Melayu, serta kewajipan menghormati sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam mestilah dijadikan keutamaan dalam setiap pertimbangan dasar,” katanya.

Menurut beliau, Kuala Lumpur sebagai ibu negara perlu terus mempertahankan nilai adab ketimuran dan keharmonian masyarakat majmuk tanpa mengorbankan asas Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang bentuk hiburan yang mahu diperkenalkan mestilah jelas, terkawal dan tidak bercanggah dengan nilai masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Amanah menegaskan, pihaknya tidak menolak pembangunan sektor seni dan hiburan namun ia perlu bergerak secara sihat dan bertanggungjawab tanpa melanggar batas agama dan budaya.

Sehubungan itu, Wan Anwar berkata, pihaknya bersedia mengadakan pertemuan dengan Hannah Yeoh bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta bertukar pandangan secara profesional mengenai cadangan tersebut.

“Dialog terbuka amat penting supaya pembangunan sektor hiburan tidak menjadi punca ketegangan sebaliknya dapat dibentuk dalam kerangka yang seimbang, bertanggungjawab dan menghormati kedudukan Islam, orang Melayu serta kepelbagaian masyarakat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast