SHAH ALAM – Pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama Keadilan disifatkan mampu memperkukuh kesiapsiagaan parti dalam menghadapi cabaran politik dan pilihan raya akan datang.
Ketua Penerangan Keadilan Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, pengalaman luas Amirudin dalam pentadbiran kerajaan negeri serta pengurusan parti menjadi antara faktor utama beliau diyakini mampu menggalas tanggungjawab berkenaan dengan berkesan.
Menurutnya, Amirudin bukan sahaja memahami landskap politik semasa, malah cukup dekat dengan gerak kerja akar umbi serta keperluan jentera parti di pelbagai peringkat.
“Beliau mempunyai pengalaman luas sama ada dalam pentadbiran kerajaan, pengurusan organisasi parti mahupun penyelarasan gerak kerja politik di lapangan.
“Sebagai Menteri Besar Selangor dan pimpinan kanan parti, beliau memahami keperluan jentera serta cabaran semasa yang perlu dihadapi parti menjelang pilihan raya akan datang,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Saifuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung Keadilan berkata, kapasiti Amirudin sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor turut dilihat memberi kelebihan dalam memperkukuh kerjasama antara parti komponen khususnya membabitkan penyelarasan gerak kerja pilihan raya.
Jelasnya, Keadilan memerlukan kepimpinan yang mampu menyatukan kekuatan parti dan gabungan secara lebih tersusun bagi memastikan gerak kerja pilihan raya berjalan dengan lebih fokus serta efektif.
Baru-baru ini, Keadilan mengumumkan beberapa penyusunan semula organisasi parti termasuk melantik Amirudin sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang. – MalaysiaGazette
















