MUAR – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum kemalangan di kawasan Kampung Sedenak, Pagoh, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 1.20 petang melibatkan lori jenis Isuzu dan motosikal ditunggang mangsa.
“Kemalangan berlaku apabila lori berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berumur 28 tahun sedang bergerak dari arah Kampung Paya Redan menghala ke pekan Pagoh.
“Kemudian motosikal ditunggang mangsa datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian sisi kanan lori,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, penunggang iaitu warga Indonesia berumur 41 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.
Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Muar atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















