KUALA LUMPUR – Sejak kebelakangan ini terdapat banyak kejadian trekker dan pendaki sesat di dalam hutan atau semasa mendaki gunung sehingga ada kes melibatkan kehilangan nyawa.
Meskipun ia bukan perkara baharu namun kejadian sebegini yang sering berulang menimbulkan banyak persoalan mengenai persiapan yang sepatutnya dilakukan serta faktor-faktor lain yang perlu diambil kira sebelum seseorang itu memulakan aktiviti sedemikian.
Pengerusi Persatuan Malim Gunung Hulu Selangor, Nor Azmi Mohd Roslan berkata, insiden sesat dan kemalangan semasa berada di dalam hutan atau gunung tidak mengenal siapa termasuklah individu yang mempunyai pengalaman luas atau ‘sudah biasa’ melakukan aktiviti tersebut.
Tegas beliau, pengalaman bukan jaminan seseorang itu akan sentiasa selamat ketika berada di dalam hutan.
Ini kerana pengalaman hanya membantu trekker atau pendaki membuat penilaian ketika berdepan situasi tertentu yang berisiko sepanjang ekspedisi tersebut.
“Di dalam hutan, pengalaman hanya ‘membantu’ kita membuat penilaian. Tetapi bukan jaminan kita akan sentiasa selamat.
“Setiap trek denai hutan mempunyai situasi dan pengalaman berbeza dari segi, kesukaran, ketinggian, jarak perjalanan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Di samping itu katanya, faktor kesihatan dan persediaan fizikal serta mental tidak boleh dipandang ringan sebelum pendakian, kerana ia turut menjadi penentu keselamatan seseorang pendaki tanpa mengira sama ada individu itu mempunyai pengalaman atau tidak.
Katanya, keadaan seperti tidak sihat, tidak cukup tidur dan emosi terganggu boleh menjejaskan fizikal seseorang ketika melakukan aktiviti pendakian.
“Ini berkait keadaan fizikal dan emosi semasa sebelum memulakan pendakian contohnya seperti tidak sihat, tidak cukup tidur, emosi terganggu atas sebab-sebab tertentu dan sebagainya,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Nor Azmi beliau turut menjelaskan risiko dehidrasi boleh berlaku terutama ketika cuaca panas atau apabila bekalan air tidak mencukupi.
“Situasi ini boleh berlaku sekiranya tempoh pendakian menjadi lebih lama disebabkan terdapat rakan yang cedera atau sakit,” katanya lagi.
Beliau juga tidak menafikan terdapat kes kehilangan di hutan yang sering dikaitkan dengan gangguan mistik.
Beliau memberi contoh situasi seperti pendaki berpusing di kawasan sama, menemui laluan yang tiba-tiba kelihatan lurus dan bersih atau laluan asal seolah-olah tertutup semak secara tiba-tiba.
Sehubungan itu, beliau menyarankan semua pendaki sentiasa menambah ilmu berkaitan hutan serta tidak terlalu yakin dengan kemampuan sendiri.
Katanya, perkembangan teknologi masa kini dapat memudahkan pendaki membuat persediaan termasuk penggunaan aplikasi navigasi luar talian menerusi telefon pintar.
“Purata pendaki memiliki telefon mudah alih dan teknologi telefon masa kini mempunyai sensor GPS yang canggih serta ketepatan tinggi setanding alat GPS berjenama.
“Kebolehan membaca peta digital melalui telefon pintar adalah perkara yang patut dipelajari oleh setiap pendaki,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan aplikasi peta topografi luar talian lebih mudah dipelajari berbanding peta tradisional dan mampu membantu pendaki mengenal pasti kedudukan mereka dengan lebih tepat.
Dalam masa sama, Nor Azmi turut menasihatkan pendaki supaya menggunakan bateri telefon secara berhemah selain membawa powerbank sebagai bekalan tambahan.
Beliau berpendirian bahawa stamina membantu seseorang mendaki dengan pantas, namun pengalaman dan ilmu pula menjadi faktor penting ketika berdepan situasi kecemasan seperti sesat di dalam hutan.
“Jika berlaku sesuatu seperti sesat, pengalamanlah yang akan membantu kita menggunakan stamina tersebut dengan betul.
“Tambah ilmu walau anda pendaki baharu atau pendaki tegar. Kursus survival, backpacking dan penggunaan GPS telefon boleh membantu ketika berada dalam keadaan sukar,” katanya.-MalaysiaGazette
















