KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Batu tidak berkecil hati walaupun tiada sumbangan lembu korban daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada bahagian tersebut meskipun timbul spekulasi Presiden PKR itu berhasrat untuk bertanding di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketuanya, Datuk Gulam Muszaffar berkata, pihaknya mengambil pendekatan positif dan bersangka baik terhadap perkara tersebut, selain tetap mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri ke kawasan Parlimen berkenaan.
Beliau berkata, UMNO Bahagian Batu tidak pernah meletakkan soal sumbangan sebagai ukuran hubungan politik atau sokongan terhadap mana-mana pihak.
“Walaupun PMX berhajat nak bertanding dekat Batu, tapi tak ada sumbangan (lembu korban) kepada UMNO Bahagian Batu.
“Tapi saya tak tahulah pada yang lain-lain itu, saya tak tahu. Saya mengambil sikap husnuzon, mungkin bukan dalam radar PMX untuk bagi UMNO Bahagian Batu lembu.
“Kalau dia tak bagi pun kita tak kecil hati,” katanya ketika ditemui selepas program ibadah korban UMNO Bahagian Batu di sini, hari ini.
Sebelum ini, timbul spekulasi Anwar mungkin bertanding di kerusi Parlimen Batu pada PRU16 susulan perubahan landskap politik di kawasan tersebut serta kedudukannya yang strategik di ibu negara.
Dalam masa sama, Gulam berkata beliau dimaklumkan Perdana Menteri dijadual turun ke Parlimen Batu bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Hamzah, esok.
“Saya dimaklumkan besok PMX akan turun ke Parlimen Batu untuk solat Jumaat di Masjid Saidina Hamzah.
“Saya ucapkan selamat datang kepada PMX. Kita di UMNO Bahagian Batu mengucapkan selamat datang dan bolehlah tinjau-tinjau kawasan putih PKR ini sekiranya beliau ingin bertanding di dalam Parlimen Batu,” katanya. – MalaysiaGazette
















