Wanita warga emas yang hilang ketika melalui kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Medan Sari di Pontian, ditemui selamat hari ini.

PONTIAN – Selepas kira-kira tiga hari warga emas hilang ketika melalui kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Medan Sari di sini, wanita itu ditemui selamat dan masih hidup hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Khairul Anwar Ab Ghani berkata, mangsa Nathiah Selamat, 77, ditemui pukul 10.50 pagi.

“Operasi mencari mangsa yang disambung semula hari ini dengan kehadiran Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat. Mangsa ditemui penduduk kampung pada jarak 2.4 kilometer radius dari timur Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

“Mangsa dalam keadaan selamat dan dihantar ke Hospital Pontian bagi pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Kelmarin, mangsa dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sri Bunian pada pukul 11 pagi.

Susulan itu operasi SAR dilakukan bagi menjejaki mangsa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast