KUALA LUMPUR – Lebih lapan dekad selepas tragedi pembinaan Siam-Burma Death Railway meragut puluhan ribu nyawa buruh Asia, waris mangsa kini tampil menuntut pengiktirafan lebih adil terhadap penderitaan yang sekian lama didakwa dipinggirkan daripada sejarah rasmi Perang Dunia Kedua.
Seramai 30 waris mangsa dari Malaysia dan Singapura hari ini memulakan perjalanan simbolik menaiki kereta api menuju ke Kanchanaburi, Thailand bagi memperingati penderitaan ahli keluarga mereka yang dipaksa membina landasan maut sepanjang era pendudukan Jepun.
Rombongan terdiri daripada tiga generasi keturunan mangsa termasuk anak, cucu dan cicit itu dilepaskan dari Platform 1, Stesen Kereta Api Kuala Lumpur lama kira-kira jam 9 pagi.
Jurucakap Death Railway Interest Group Malaysia, P. Chandrasekaran berkata, misi tersebut bukan sekadar lawatan tahunan biasa, sebaliknya usaha berterusan untuk memastikan kisah mangsa buruh Asia tidak terus dilupakan.
Menurutnya, sehingga kini masih terdapat jurang besar dalam dokumentasi sejarah apabila rekod lengkap melibatkan tawanan perang Barat tersedia, namun nasib puluhan ribu buruh Asia yang maut masih kabur dan tidak direkodkan secara menyeluruh.

“Kita mempunyai rekod lengkap melibatkan tawanan perang dari Britain, Australia dan Belanda tetapi bagi buruh Asia khususnya dari Malaya, ramai yang hilang begitu sahaja daripada sejarah.
“Dianggarkan sekitar 300,000 pekerja Asia dibawa untuk pembinaan landasan ini dan kadar kematian dipercayai mencecah antara 50 hingga 80 peratus,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette sebelum rombongan itu berlepas di sini hari ini.
Beliau berkata, majoriti mangsa terdiri daripada pekerja ladang getah berketurunan India dari Tanah Melayu yang dibawa semasa pemerintahan Jepun.
Katanya, ramai mangsa dipercayai dikebumikan di kubur besar tanpa tanda pengenalan di sepanjang laluan kereta api tersebut yang kini berada di bawah seliaan kuil di Kanchanaburi.
“Mereka ini seolah-olah tidak wujud dalam sejarah walaupun jumlah korban dipercayai sangat besar. Kebanyakan kubur pula tidak mempunyai identiti yang jelas,” katanya.
Dedah beliau, antara perjuangan utama kumpulan itu adalah untuk mewujudkan sebuah monumen khas dan pusat informasi bagi memperingati mangsa buruh Asia, sama seperti memorial Hellfire Pass yang dibangunkan kerajaan Australia bagi memperingati tawanan perang Barat.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan pengorbanan mangsa Asia tidak terus dianggap sebagai nota kaki dalam sejarah pembinaan Death Railway.
“Kita mahu generasi muda tahu bahawa pembinaan landasan ini bukan hanya melibatkan tawanan perang Barat tetapi juga puluhan ribu buruh Asia yang meninggal dunia dalam keadaan sangat menyedihkan,” ujarnya.
Tambah beliau, kumpulan itu juga sedang berusaha mengenal pasti lokasi sebenar kubur besar di sepanjang kira-kira 450 kilometer laluan kereta api tersebut sebagai langkah awal ke arah pembinaan memorial pada masa hadapan.
Dalam pada itu, seorang waris mangsa, Periasamy Kuppanaickam, 86, tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi mengenai bapanya yang meninggal dunia ketika pembinaan landasan tersebut.

Menurutnya, sepanjang hidup beliau tidak pernah berpeluang mengenali bapanya sendiri kerana tragedi berkenaan berlaku ketika beliau masih kecil.
“Saya tidak pernah jumpa ayah saya. Dulu saya tidak mampu pergi tengok tempat dia dikuburkan tetapi sekarang saya akhirnya dapat pergi,” katanya dalam nada sebak sambil mengesat air mata.
Periasamy berkata, kehilangan bapanya meninggalkan kesan mendalam sepanjang hidupnya dan sehingga kini beliau masih menyimpan rasa sedih kerana tidak sempat mengenali insan tersebut.
“Saya rasa sakit hati sebab saya tidak pernah kenal ayah saya. Sudah lama saya tunggu untuk datang ke sini dan beri penghormatan kepada dia,” katanya emosi.
Seorang lagi waris mangsa, Subramaniam Govindasamy, 86, tidak pernah berpeluang mengenali bapanya yang dihantar bekerja dalam pembinaan Death Railway ketika zaman pendudukan Jepun.

Menurutnya, beliau kemudian kehilangan ibunya beberapa tahun selepas itu sebelum dibesarkan bapa saudaranya.
Kini sebagai paderi kuil, beliau berkata, perjalanan tahunan ke Thailand itu amat bermakna buat dirinya kerana dapat mendoakan bapanya serta semua mangsa lain yang terkorban.
“Saya datang bukan hanya untuk ayah saya tetapi juga semua mangsa yang meninggal dunia di sana. Saya cuma mahu berdoa untuk mereka,” katanya.
Chandrasekaran berkata, lawatan kali ini merupakan misi kali kesembilan sejak dimulakan pada 2018 sebelum terhenti sementara akibat pandemik Covid-19.
Daripada jumlah peserta, 17 orang memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur manakala selebihnya menyertai rombongan dari Padang Besar, Hat Yai dan Singapura.
Sepanjang berada di Thailand nanti, rombongan itu dijadual mengadakan upacara doa dan majlis memperingati mangsa yang diketuai Subramaniam.

Sebelum ini, Death Railway Interest Group Malaysia turut mengutus surat terbuka kepada Perdana Menteri Malaysia dan India pada Januari lalu bagi menggesa kedua-dua kerajaan bekerjasama dengan Thailand dalam usaha membina memorial khas untuk mangsa Asia.
Untuk rekod, Siam-Burma Death Railway dibina tentera Jepun antara tahun 1942 hingga 1943 menggunakan buruh paksa dan tawanan perang bagi menghubungkan Thailand dan Myanmar.
Ribuan mangsa dipercayai maut akibat kebuluran, penyakit serta layanan kejam sepanjang projek berkenaan. – MalaysiaGazette
















